KUALA LUMPUR 23 April – PRG Holdings Berhad memilih untuk menerima 12 unit kondominium projek Picasso Residence sebagai sebahagian penyelesaian bayaran daripada pemaju hartanah berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pembelian berkenaan merupaan langkah luar biasa bagi menangani tunggakan hutang yang bernilai puluhan juta ringgit oleh pemaju projek itu.
Anak syarikatnya, Premier Construction (International) Sdn Bhd memeterai perjanjian penyelesaian dengan Premier De Muara Sdn Bhd bagi melunaskan sebahagian hutangnya yang berjumlah RM37.17 juta.
"Di bawah perjanjian ini, 12 unit kondominium dalam projek terletak di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur itu akan dipindahkan kepada PRG atau penama pada nilai keseluruhan RM13.73 juta," jelasnya lagi.
Sementara itu, baki hutang sebanyak RM23.44 juta pula jelas PRG, akan terus dituntut oleh kumpulan berkenaan sama ada melalui proses rundingan lanjut atau saluran lain yang ditetapkan kemudian.
Picasso Residence merupakan pembangunan kediaman mewah yang merangkumi 472 unit kondominium, dengan sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) diperoleh bagi kedua-dua menara pada 2024 dan 2025.
Daripada jumlah unit dibeli, 10 unit adalah jenis dua bilik tidur berkeluasan 1,013 kaki persegi, manakala dua unit lagi adalah lebih besar dengan tiga bilik tidur berkeluasan 1,375 kaki persegi.
Harga penyelesaian iaitu RM1,066 sekaki persegi adalah munasabah berdasarkan penilaian dalaman dan perbandingan pasaran hartanah sekitar yang berada dalam julat RM950 hingga RM1,200 sekaki persegi.
“Langkah ini membolehkan kumpulan menukar sebahagian hutang kepada aset fizikal yang mempunyai potensi nilai dan kebolehpasaran, selain mengurangkan pendedahan kredit,” kata PRG lagi.
Tambahnya, perjanjian itu tidak melibatkan aliran tunai keluar dan tiada kesan material kepada hasil, aset bersih atau struktur modal kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Bagaimanapun, PRG mengakui terdapat risiko berkaitan pemilikan hartanah termasuk turun naik nilai pasaran serta kos pegangan, namun percaya faktor lokasi strategik mampu menyokong prospek.
Perjanjian tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku kedua 2026, dan secara keseluruhan, ia melihat langkah ini sebagai pendekatan sesuai mendapatkan semula sebahagian hutang. - DagangNews.com








