Prestasi VS Industry diunjur lemah pada FY25 kesan pelarasan inventori pelanggan AS - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi VS Industry diunjur lemah pada FY25 kesan pelarasan inventori pelanggan AS - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Mac - Langkah pelarasan inventori secara berterusan oleh pelanggannya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi kesan kepada prospek perniagaan VS Industry Berhad, menurut Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).
 

Firma penyelidikan itu berkata, operasi baharu syarikat berkenaan di Filipina bagaimanapun masih lagi kekal dalam tempoh bertenang sebelum ia dapat meningkatkan pengeluaran kepada tahap optimum.


Sehubungan itu, ia menjangkakan prestasi yang lebih lemah untuk tahun kewangan FY25 disebabkan proses pelarasan inventori berterusan oleh pelanggannya yang berada di AS sehingga tempoh suku terakhir tahun ini (4QFY25).


"Sementara itu, kami telah mengurangkan potensi HT Press Production yang merugikan syarikat dan hanya memperoleh sedikit pendapatan daripada perniagaan proses anodisasi atau elektrolitik," katanya dalam satu nota kajian.


Kilang baharu itu akan menikmati tempoh tanpa sewa sehingga akhir bulan ini dan secara positifnya, PublicInvest memahami, VS Industry memperoleh dua pesanan baharu berhubung produk penjagaan alam sekitar.


Bagaimanapun, syarikat berkenaan kata firma itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga sembilan bulan memulakan pengeluaran dan kumpulan tersebut masih membida satu lagi model produk baharu untuk operasi Malaysia dan Filipina.


Perolehan turun 18.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y) disebabkan kesan bermusim, terutamanya oleh permintaan lemah bermusim manakala pelanggan di AS sedang menjalani pelarasan inventori untuk pelancaran produk baharu pada 4QFY25.


"Malaysia maaih lagi kekal sebagai penyumbang jualan terbesar kepada VS Inustry dengan pendapatan mencecah sebanyak RM737 juta, meningkat kira-kira 23.8 peratus y-o-y," kata firma penyelidikan tersebut.


Sementara itu, jualan dari Singapura menjunam 52.1 peratus y-o-y kepada RM102.3 juta, yang dipengaruhi jualan lebih rendah daripada pelanggan utama, manakala jualan Indonesia merosot sedikit daripada RM74.2 juta kepada RM68.6 juta.


Penurunan hasil berkenaan kata PublicInvest Research, disebabkan oleh faktor tempahan yang lebih lemah daripada pelanggan utamanya dan keadaan itu menyebabkan ia menurunkan taraf saranan daripada 'Trading Buy' kepada 'Neutral'.


Harga sasaran (TP) pula diunjur lebih rendah sebanyak RM0.77 berdasarkan 15 kali ganda perolehan per saham FY26 yang disemak semula. - DagangNews.com