KUALA LUMPUR 22 Ogos – Prestasi keuntungan bersih Duopharma Biotech Berhad yang lebih kukuh pada tempoh separuh pertama tahun kewangan 2025 adalah selari dengan jangkaan, menurut penganalisis.
RHB Research berkata, kedudukan tersebut disifatkan sebagai menepati ramalan dengan mengambil kira situasi sepanjang enam bulan itu kebiasaannya lebih perlahan dari segi sumbangan pendapatan.
Firma penyelidikan itu masih mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.56 sesaham, berdasarkan model Diskaun Aliran Tunai (DCF), memberikan potensi kenaikan sebanyak 18% pada FY25.
"Pertumbuhan pendapatan Duopharma terus dipacu oleh kontrak pembekalan produk farmaseutikal di bawah senarai perolehan yang diluluskan Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu nota kajian.
Kata RHB Research, kontrak diterima kumpulan berkenaan turut dilanjutkan dengan tambahan produk unit simpanan stok (SKU) kepada 100 unit bernilai RM684 juta yang memberikan jaminan hasil.
Margin kasar pula tambah firma itu, meningkat 3 mata peratus kepada 37.4%, dipacu penurunan harga bahan aktif farmaseutikal serta nilai ringgit yang kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Selain itu firma berkenaan turut menilai kemungkinan berlaku risiko ketidaktentuan dalam kontrak pembekalan insulin yang kini dilanjutkan secara asas tempahan pembelian sehingga Oktober 2025.
"Jika Kementerian Kesihatan memilih untuk kontrak dibahagikan antara Duopharma dan pesaing baharu, hasil FY26 boleh terjejas sekitar 6%, berdasarkan anggaran margin bersih 10%," kata RHB Research.
Ia tidak mengubah unjuran pendapatan kerana keputusan semasa dalam jangkaan dan optimis permintaan stabil terhadap produk farmaseutikal, serta persekitaran dasar domestik yang menyokong pertumbuhan.
Sementara itu, CGS International (CGSI) mengekalkan saranan 'tambah' ke atas potensi saham kumpulan tersebut sejajar dengan 53% daripada unjuran firma berkenaan dan 50% daripada konsensus Bloomberg.
Selain itu, ia menjangkakan margin kasar akan terus mengukuh dalam suku-suku mendatang dengan trend penurunan harga bahan mentah dan penguatan nilai ringgit berbanding dolar AS secara berterusan.
"Pihak pengurusan Duopharma menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan komitmen kerajaan terhadap pembangunan sektor kesihatan dan farmaseutikal tempatan," katanya.
CGSI yakin, permintaan berterusan akibat populasi warga emas yang semakin meningkat, serta dasar pengurangan kebergantungan import dijangka mengukuhkan kedudukan strategik dalam industri.
Sehubungan itu, firma berkenaan masih mengekalkan TP terhadap Duopharma kepada RM1.74 sesaham, berdasarkan unjuran pertumbuhan jangka panjang 5.0% dan penilaian semasa tahun kewangan 2026.
Pemangkin kumpulan ini katanya, ialah permintaan lebih tinggi daripada jangkaan, dam kos bahan mentah lebih rendah, manakala risiko ialah kos operasi meningkat dan penurunan jualan. - DagangNews.com








