Prestasi Tasco bagi 4QFY26 gagal tepati jangkaan disebabkan kerugian segmen penghantaran laut, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi Tasco bagi 4QFY26 gagal tepati jangkaan disebabkan kerugian segmen penghantaran laut, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 April – Prestasi Tasco Berhad bagi suku keempat FY26 ternyata mengecewakan apabila keuntungan bersih teras didapati gagal memenuhi jangkaan, menurut analisis MBSB Research


Firma penyelidikan itu berkata, kelemahan ketara tersebut disebabkan kerugian segmen penghantaran laut dan logistik kontrak, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap momentum pertumbuhan.


Ujarnya, kumpulan itu hanya mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM8.8 juta bagi 4QFY26, menjadikan jumlah keseluruhan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26) kepada RM39.2 juta.


"Tasco cuma mencapai 92% daripada anggaran kami, dan prestasi di bawah jangkaan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kelemahan daripada dua segmen berkenaan,” kata MBSB Research dalam nota.


Lebih membimbangkan firma itu, segmen penghantaran laut mencatatkan penyusutan hasil 17.7% tahun ke tahun (YoY) dengan kerugian sebelum cukai RM14,000, susulan penurunan jumlah penghantaran.


Pada masa sama tambahnya, segmen rantaian bekalan sejuk syariat itu turut mencatatkan penurunan hasil sebanyak 6.2% berikutan kehilangan pelanggan utama dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

 

Tasco_DagangNews


Kemerosotan itu jelas MBSB Research masih dicatatkan, walaupun pengurusan Tasco ada merancang penyusunan semula operasi segmen yang dijangka boleh memberi sedikit pemulihan pada masa hadapan.


"Secara keseluruhan, hasil kumpulan naik 3.5% YoY, dipacu pertumbuhan banyak segmen lain, manakala lonjakan untung bersih teras sebanyak 48.9% didorong kadar cukai efektif yang rendah," ujarnya.


Dari segi suku ke suku (QoQ), pendapatan meningkat 1.9%, dijana prestasi kukuh segmen pengangkutan darat yang melonjak 15.9%, selain ada pertumbuhan dalam penghantaran udara dan logistik kontrak.


Namun kata MBSB Research, keuntungan bersih Tasco susut 20.7% berbanding suku sebelumnya akibat tekanan margin daripada kos pembiayaan lebih tinggi serta kadar cukai efektif bertambah sedikit.


Bagi FY26 tambah firma penyelidikan tersebut, lembaga pengarah kumpulan berkenaan mengisytiharkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.75 sen sesaham, dengan nisbah pembayaran dividen 36%.


"Meskipun prestasi hambar, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat ini dan harga sasaran 56 sen sesaham, bersandarkan gandaan 10 kali pendapatan sesaham (EPS) bagi FY27," katanya.


MBSB Research namun menjangkakan risiko penurunan kekal wujud sementara menunggu panduan lanjut daripada pengurusan Tasco dalam taklimat keputusan yang dijadualkan pada 12 Mei 2026. - DagangNews.com