Prestasi SP Setia kukuh separuh kedua 2025 selepas untung bersih RM138.7 juta pada 1HFY25 - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi SP Setia kukuh separuh kedua 2025 selepas untung bersih RM138.7 juta pada 1HFY25 - CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Ogos – SP Setia Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM138.7 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, merosot 54% berbanding tempoh sama tahun lalu.


CGS International (CGSI) berkata, keadaan tersebut hanya menyumbang sebanyak 39% kepada unjuran tahun penuh firma penyelidikan berkenaan serta 32% daripada konsensus diramalkan oleh Bloomberg.


Tambahnya, prestasi lemah itu dikenal pasti berpunca daripada faktor pengebilan kemajuan projek yang didapati lebih perlahan serta masalah kelewatan pengiktirafan pendapatan daripada jualan tanah.


“Pendapatan jualan tanah kira-kira RM114 juta, hasil penjualan tanah di Taman Pelangi kepada Mah Sing Group, merupakan penyumbang utama kepada prestasi suku kedua," kata firma itu dalam nota kajiannya.


Tambah CGSI, sekiranya tiada sumbangan tersebut, SP Setia dijangka mencatat kerugian bersih teras hanya RM1.6 juta kerana keuntungan bersih suku kedua FY25 merosot sebanyak 60% tahun ke tahun (YoY).


Bagaimanapun katanya, kumpulan itu masih merekodkan keuntungan bersih teras RM112.4 juta, meningkat 329% suku ke suku (QoQ) pada 2QFY25, dengan pendapatan bertambah 23% QoQ kepada RM943.7 juta.


Melihat ke hadapan, firma itu menjangkakan momentum keuntungan akan pulih pada 2HFY25, disokong oleh pengiktirafan jualan tanah yang dijadualkan di Alam Damai (RM134 juta) dan Setia Alaman (RM650 juta).


“Langkah tersebut diramal mampu menyokong perkembangan pemulihan prestasi kewangan syarikat pemaju hartanah ini bagi menampung sebarang kelemahan sepanjang tempoh 1HFY25,” tambah CGSI.


SP Setia merekodkan jualan RM1.2 bilion dalam 2QFY25, menunjukkan pemulihan berbanding suku sebelumnya dan menjadikan jumlah jualan 1HFY25 sebanyak RM1.9 bilion, menurun 17% daripada 1HFY24.


Angka itu namun mewakili 40% daripada sasaran jualan tahunan sebanyak RM4.8 bilion, yang memberi isyarat bahawa syarikat tersebut masih berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamatnya.


Kata CGSI, sebanyak 75% daripada jualan 1HFY25 disumbangkan oleh projek hartanah domestik, manakala baki 25% datang daripada projek antarabangsa kumpulan, khususnya di pasaran Australia dan Britain.


"Pelancaran pelbagai projek baharu yang dianggarkan berjumlah RM5.1 bilion yang dirancang sepanjang FY25, dijangka menjadi pemangkin kepada momentum jualan SP Setia dalam separuh kedua," katanya.


Setakat Jun 2025, jualan belum dibil RM3.9 bilion, meningkat 3% QoQ, memberikan keterlihatan hasil jangka pendek, manakala nisbah hutang bersih kepada ekuiti turun sedikit kepada 0.34 kali ganda.


Justeru berdasarkan kedudukan kewangan kekal kukuh, CGSI mengulangi saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran tidak berubah RM1.45 sesaham, berdasarkan diskaun 55% kepada nilai aset bersih diselaraskan.


Walaupun keputusan 2QFY25 mungkin menyebabkan tekanan kepada harga saham dalam jangka pendek, ia percaya unjuran keuntungan FY25 masih boleh dicapai jika SP Setia merealisasikan pelancaran baharu.


"Pemangkin penarafan semula termasuk pertumbuhan jualan kukuh, manakala risiko penurunan antaranya permintaan hartanah yang lebih lemah daripada jangkaan," katanya. - DagangNews.com