Prestasi sektor telekomunikasi terus tidak menentu dalam suku kedua FY25 – CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi sektor telekomunikasi terus tidak menentu dalam suku kedua FY25 – CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Sept – Prestasi sektor telekomunikasi bagi suku kedua tahun kewangan 2025 masih menunjukkan keputusan tidak menentu, dengan majoriti pemain mencatat prestasi sejajar jangkaan.


CIMB Securities berkata, Maxis Berhad muncul sebagai syarikat paling menonjol dengan keputusan kewangan yang melebihi ramalan, manakala CelcomDigi Berhad pula merekodkan prestasi kurang baik.


Firma penyelidikan tersebut menambah, hasil perkhidmatan mudah alih keseluruhan industri kekal stabil secara tahunan (YoY), namun ada perubahan dalam pegangan pasaran hasil mudah alih (RMS).


“Secara sukuan (QoQ), Maxis mengukuhkan kedudukan RMS sebanyak 0.3 mata peratus kepada 42.7%, manakala RMS bagi CelcomDigi menurun sebanyak 0.3 mata peratus kepada 57.3%,” katanya dalam nota.


Dalam segmen perkhidmatan tetap kata CIMB Securities, industri telekomunikasi mencatat penyusutan 2.5% YoY, dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) menjadi penyumbang utama kepada kelemahan ini.


Tambahnya, persaingan dalam segmen jalur lebar tetap (FBB) kekal sengit, dengan CelcomDigi meraih pertambahan bersih pelanggan yang pantas, manakala TM dan Maxis pula perlahan dan mendatar.


Menurut firma itu, purata hasil setiap pengguna (ARPU) industri susut sebanyak 0.8% QoQ, dengan kemungkinan berlaku penurunan secara berterusan sepanjang tempoh separuh kedua 2025 (2H25).


"Kami namun menjangkakan kestabilan selepas 2H25, apabila kebanyakan pelanggan menyesuaikan diri dengan tawaran baharu susulan pelaksanaan Standard Mandatori Harga Akses (MSAP)," katanya lagi.


Walaupun prestasi Maxis mengatasi jangkaan dalam suku ini, CIMB Securities memilih CelcomDigi dan TM sebagai pilihan utama dalam sektor ini, kerana Maxis kekurangan pemangkin jangka pendek.


Sektor telekomunikasi Malaysia tambah firma penyelidikan tersebut, masih kekal diberi penarafan ‘overweight’, mencerminkan prospek secara jangka sederhana yang sebenarnya tetap bernada positif.


Walaupun sektor berkenaan katanya, memperlihatkan prestasi yang tidak seimbang dalam 2Q25, asas industri kekal stabil dengan potensi pemulihan ARPU dalam jangka sederhana.


"Persaingan secara agresif dalam segmen jalur lebar tetap dan penyesuaian pasaran kepada MSAP dijangka membentuk landskap pertumbuhan baharu," kata CIMB Securities. - DagangNews.com