Prestasi sektor barangan pengguna dibimbangi lebih lemah pada 2QFY25, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi sektor barangan pengguna dibimbangi lebih lemah pada 2QFY25, kata CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Jun — Prospek kebanyakan syarikat berkaitan produk pengguna, dibimbangi mencatatkan keputusan kewangan yang lebih lemah pada tempoh suku kedua tahun ini, menurut CIMB Securities.


Firma penyelidikan itu, yang meliputi 13 saham terbabit berkata, hasil lebih perlahan akan datang berikutan ketiadaan perayaan berpotensi membawa kepada penyusutan permintaan manakala kos operasi pula tinggi.


Syarikat-syarikat berkenaan diunjur terjejas terutama disebabkan jualan lebih rendah pada suku tersebut setelah berlaku pembelian awal para pengguna ketika Hari Raya Aidilfitrin ini, semasa tempoh 1QFY25.


“Kami menjangkakan prospek sektor pengguna mencatatkan keputusan tahun ke tahun (y-o-y) dan suku ke suku (q-o-q) lebih lemah pada 2QFY25 berbanding sebelumnya," kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.


Selain itu, firma tersebut meramalkan syarikat pengguna menanggung impak penuh kos tinggi kakitangan berpunca kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 berkuat kuasa Februari 2025.


Bagaimanapun, ia percaya kesan upah mandatori tersebut mampu ditangani dengan meningkatkan kawalan kos dan memanfaatkan kadar tukaran ringgit lebih kukuh yang akan membawa kepada nilai import rendah.


Antara saham pengguna di bawah liputan CIMB Securities, lapan daripadanya melaporkan keputusan 1QFY25 yang memenuhi jangkaan, manakala satu mengatasi prestasi dan empat tidak menepati ramalan.


Satu-satunya masih kukuh ialah Padini Holdings Berhad, didorong oleh jualan yang lebih baik berbanding jangkaan daripada permintaan mantap perayaan dan pengguna memilih alternatif secara berpatutan.


Sebahagian besar syarikat yang mencatatkan kerugian hasil pada suku itu dipengaruhi oleh jualan lebih rendah daripada jangkaan, kesan boikot dikaitkan dengan perang Israel-Palestin dan kos operasi tinggi.


Secara kumulatif kata CIMB Securities, stok ruji pengguna pada 1QFY25, berjaya mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 3.9 peratus y-o-y, manakala keuntungan bersih teras merosot kira-kira 5.8 peratus y-o-y.


QL Resources Berhad, 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Berhad dan Farm Fresh Berhad mencatatkan keputusan positif, tetapi Nestle (M) Berhad dan Fraser & Neave Holdings Berhad yang berlaku sebaliknya.


Bagi budi bicara pengguna, subsektor tersebut mencatatkan pertumbuhan 19.9% ​​y-o-y dalam keuntungan bersih teras asas agregat pada 1QFY25 yang dipacu permintaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.


Kadar pertukaran menggalakkan bagi ringgit-renmimbi juga membantu mengurangkan kos operasi syarikat yang mengimport barangan dari China, dengan sebahagiannya mengimbangi kesan kenaikan gaji minimum.


Bagaimanapun menjelang tempoh separuh kedua tahun ini, CIMB Securities menjangkakan prestasi lebih lemah berbanding 1HFY25 berikutan kurang perayaan dan corak perbelanjaan pengguna yang berhati-hati.


Ia susulan ketidaktentuan ekonomi global disebabkan perang perdagangan Amerika Syarikat dengan China serta rancangan kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi bahan api dan tarif elektrik pada 2HFY25.


“Walaupun kami menjangkakan gaji yang lebih tinggi akan menyokong perbelanjaan pengguna, kami percaya pengguna akan mengutamakan keperluan harian berbanding perbelanjaan mengikut budi bicara," katanya.


CIMB Securities namun percaya kebanyakan syarikat pengguna telah merancang untuk menaikkan harga jualan bagi menyerap kenaikan kos, selain menerima sedikit pelepasan margin daripada pengukuhan ringgit.


Firma tersebut percaya bahawa sebanhagian besar daripada syarikat pengguna akan terus menumpukan langkah mereka untuk meningkatkan keseluruhan usaha kawalan kos dan mengurangkan tekanan kos ini.


Ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor tersebut berdasarkan kepada penilaian semasa yang adil dengan pilihan utamanya ialah saham 99 Speedmart, Farm Fresh dan Padini. - DagangNews.com