KUALA LUMPUR 7 Ogos — Tasco Berhad diyakini mampu mengharungi baki enam bulan terakhir tahun ini (2H25) tanpa terjejas disebabkan oleh isu tarif Amerika Syarikat (AS), menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pelaksanaan duti import negara berkenaan yang disemak semula kepada 19 peratus mulai 7 Ogos 2025 didapati tidak memberi kesan kepada kumpulan logistik itu.
Tambahnya lagi, perkembangan positif tersebut berikutan syarikat berkenaan sebenarnya mencatatkan prestasi yang kukuh bagi pelbagai aktiviti penghantaran ke seluruh dunia termasuk AS sendiri.
"Aliran tempahan tidak terjejas secara ketara atau mengurangkan tahap permintaan pelanggan dengan disokong teguh oleh tiga segmen pelanggan utama," kata MBSB Research dalam satu nota kajiannya.
Ia meliputi antaranya produk teknologi terutama untuk pusat data berasaskan kecerdasan buatan (AI) dihantar ke AS serta aeroangkasa yang melibatkan komponen pesawat dieksport ke Britain dan AS.
Selain itu tambah firma berkenaan, Tasco menerima permintaan tinggi untuk penghantaran barangan pengguna pantas bergerak (FMCG) yang cepat dijual seperti rokok elektronik dari China ke Eropah.
MBSB Research turut optimis dengan kadar pengangkutan dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang didapati kekal secara relatif stabil, walaupun terdapat aliran menurun berbanding setahun lalu.
"Kami jangka keadaan ini boleh meningkat semula pada tempoh suku ketiga tahun kewangan 2026 dan menaikkan unjuran perolehan bagi kumpulan tersebut kepada empat peratus untuk FY27," katanya.
Angka itu dianggap realistik dengan diambil kira sumbangan gudang tambahan 37,161 meter persegi Shah Alam dan 27,870 meter persegi lagi di Northport, yang dijangka siap pada 26 Mei 2026.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Tasco dengan harga sasaran sesaham dinaikkan kepada 72 sen berbanding 68 sen. - DagangNews.com








