Prestasi Mega First disasar lebih teguh pada 2HFY25, disokong segmen RE - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi Mega First disasar lebih teguh pada 2HFY25, disokong segmen RE - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 SeptMega First Corporation Berhad (MFCB) dijangka mencatat prestasi lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2025, menurut Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan yang dilihat sebagai positif berkenaan dipacu oleh faktor peningkatan ketara trend perniagaannya dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE).


Ia mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM5.80 sesaham, berdasarkan penilaian kepada jumlah bahagian (SOP) yang memberikan potensi kenaikan lebih 70% berbanding harga semasa.


“Lonjakan hasil daripada RE dijangka dalam 2HFY25 disebabkan aliran air yang tinggi serta tahap penggunaan kapasiti penuh loji hidro dikendalikan MFCB," kata PublicInvest dalam nota kajiannya hari ini. 


Tambahan pula jelas firma berkenaan, segmen sumber dan pembungkusan kumpulan tersebut menunjukkan pemulihan semula selepas mencatat prestasi yang suram sepanjang tempoh suku kedua 2025 (2QFY25).


Segmen tenaga kata firma itu lagi, mencatat pertumbuhan kira-kira 5.4% dalam jualan berdenominasi dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2QFY25, disokong oleh peningkatan volum tenaga sebanyak 10.9%.


PublicInvest menambah, loji hidro MFCB kini beroperasi pada kapasiti penuh berikutan paras air yang tinggi, dengan stesen Pakse di Laos berjaya merekodkan kadar air paling tinggi sejak 2019.


"Projek tenaga solar turut mencatat perkembangan positif, dengan harga panel solar mula pulih daripada paras yang paling rendah AS$0.08/kW kepada AS$0.10/kW," jelas firma penyelidikan berkenaan.


Syarikat tersebut juga tambah firma itu lagi, sedang menyiapkan beberapa tender terbuka bagi projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dengan sasaran pulangan sebanyak 7% hingga 8%.


Sementara itu kata PublicInvest, segmen oleokimia, yang dimiliki melalui usaha sama, mencatat sembilan suku berturut-turut kerugian, dengan jumlah penyusutan RM45.4 juta sepanjang 1HFY25.


Bekalan gas namun tambah firma berkenaan, telah merekodkan pemulihan sepenuhnya sejak Julai 2025, dengan operasi kilang MFCB di Pulau Carey, Selangor kini dilaporkan sedang dipertingkatkan lagi. 


"Walaupun harga isi rung sawit yang tidak menentu mengekang margin, kami menjangkakan kerugian lebih kecil dalam separuh kedua tahun ini selaras peningkatan jualan," kata firma tersebut. 


Dalam pada itu kata PublicInvest, projek hospital milik MFCB di Setia Alam dijangka mula dibina pada 2QFY26 dan siap menjelang 2029, selepas menerima kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.


Untuk segmen keselamatan makanan, anak syarikat miliknya 40%, CSC Agriculture Holdings, kini mengembangkan pertanian pintar di samping saluran agihan ke pasaran Malaysia dan Singapura.


Pengurusan turut memberi isyarat untuk melupuskan perniagaan pembungkusan apabila ia mencapai tahap operasi mampan, yang dilihat sebagai salah satu pemangkin penilaian semula saham MFCB.


"Kami mengenal pasti beberapa pemangkin utama yang boleh menyumbang kepada penilaian semula kumpulan ini antaranya penjualan atau penyenaraian unit pembungkusannya," kata PublicInvest.


Selain itu, pembayaran dividen khas yang lebih tinggi serta aktiviti penggabungan dan pengambilalihan dalam ruang RE yang ketika ini menyumbang 40% juga membantu MFCB. - DagangNews.com