Prestasi lemah Beshom pada 2QFY26 akibat jualan lebih rendah daripada jangkaan - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi lemah Beshom pada 2QFY26 akibat jualan lebih rendah daripada jangkaan - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 DisBeshom Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan pada suku kedua FY26 yang lemah berikutan faktor jualan didapati lebih rendah daripada jangkaan, menurut TA Securities.


Kata firma penyelidikan tersebut, pendapatan kumpulan itu menurun 6.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM38.5 juta, manakala keuntungan bersih teras suku tahunan pula jatuh 20% YoY kepada RM2.1 juta.


Penurunan ini didorong jualan produk PB Thera dengan margin lebih tinggi dalam divisyen pemasaran berbilang tahap (MLM) yang mengecil dan campuran jualan tidak menguntungkan dalam divisyen borong.


"Kerugian divisyen runcit namun susut kepada RM0.1 juta daripada RM0.3 juta disokong kempen jualan dan promosi agresif produk perubatan tradisional Cina baharu," kata TA Securities dalam notanya.


Secara kumulatif jelas firma berkenaan, perolehan teras Beshom pada 1HFY26 merosot 29.6% tahun ke tahun (YoY) kepada RM3.7 juta, mewakili 42% daripada unjuran tahunan firma itu dan konsensus.


Keputusan suku kedua yang lemah dalam divisyen borong turut menekan keuntungan separuh tahun, dan syarikat mengumumkan dividen interim 1 sen sesaham, lebih rendah berbanding 1.5 sen pada 2QFY25.


Susulan prestasi ini, TA Securities menurunkan unjuran keuntungan teras pada FY26, FY27 dan FY28 kepada RM7.9 juta, RM11.4 juta dan RM11.7 juta daripada RM8.9 juta, RM12.9 juta dan RM13.4 juta.


"Selain itu, kami turut menurunkan harga sasaran (TP) kepada 51 sen sesaham berasaskan unjuran 15 kali pendapatan sesaham pada 2026 EPS dan mengekalkan saranan 'jual'," jelas firma berkenaan.


Beshom katanya, dijangka menumpukan kepada pengurusan kos operasi lebih berhemah, pengembangan saluran pengedaran dan tawaran produk, penutupan atau pemindahan kedai yang kurang prestasi.


TA Securities menambah, kumpulan berkenaan turut berhasrat melancarkan banyak kempen insentif perjalanan untuk memacu semula jualan dan mengekalkan keuntungan. - DagangNews.com