Prestasi kukuh segmen resort dorong lonjakan keuntungan Shangri-La Malaysia sebanyak 42% pada FY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi kukuh segmen resort dorong lonjakan keuntungan Shangri-La Malaysia sebanyak 42% pada FY2025

Shangri-La Rasa Ria, Kota Kinabalu
Oleh

KUALA LUMPUR 24 April – Shangri-La Hotels (Malaysia) Berhad menjangkakan prospek lebih positif bagi tahun kewangan 2026, disokong strategi pengukuhan pasaran melalui kempen pemasaran agresif, pengoptimuman kadar bilik serta peningkatan hasil segmen makanan dan minuman. 

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk memanfaatkan sepenuhnya momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka merangsang permintaan pelancongan domestik dan antarabangsa serta memperkasakan kerjasama strategik dengan ejen pelancongan dalam talian (OTA) bagi memperkukuh tempahan bilik. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 2% kepada RM544.03 juta berbanding RM535.30 juta pada 2024. 

 

“Keuntungan sebelum cukai meningkat 33% kepada RM70.06 juta, manakala keuntungan bersih melonjak 42% kepada RM41.43 juta berbanding RM29.25 juta tahun sebelumnya.

 

“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut meningkat kepada RM128.41 juta daripada RM115.40 juta pada tahun sebelumnya, mencerminkan prestasi operasi yang lebih kukuh. 

 

“Selain itu, pendapatan sesaham (EPS) turut meningkat kepada 9.42 sen berbanding 6.65 sen, manakala pulangan ke atas ekuiti (ROE) naik kepada 5.2% daripada 3.8%,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Segmen hotel bandar mencatat prestasi bercampur dengan Shangri-La Hotel Kuala Lumpur merekodkan peningkatan hasil 4% kepada RM189.08 juta, disokong pertumbuhan kukuh makanan dan minuman. Namun, kadar penginapan sedikit menurun kepada 62% daripada 65%. 

 

Hotel Jen Penang pula mencatat sedikit penurunan hasil kepada RM45.83 juta meskipun kadar penginapan meningkat kepada 70%.

 

t

 

Shangri-La berkata segmen resort terus menjadi penyumbang utama dengan prestasi lebih kukuh iaitu Rasa Sayang Resort mencatat peningkatan hasil 3% kepada RM94.73 juta dengan keuntungan sebelum cukai melonjak kepada RM17.27 juta manakala Rasa Ria Resort pula meningkat kepada RM125.25 juta dengan keuntungan RM30.18 juta.

 

“Namun Golden Sands Resort sedikit menurun kepada RM60.10 juta akibat tekanan kadar bilik purata.

 

“Dalam segmen pelaburan hartanah, hasil meningkat 3% kepada RM20.28 juta disokong prestasi lebih baik UBN Tower dan pengurangan kos tenaga,” katanya.

 

Syarikat turut mencatatkan kerugian bersih daripada syarikat bersekutu di Myanmar sebanyak RM1.12 juta, namun ini jauh lebih rendah berbanding RM6.17 juta pada 2024. 

 

Dari segi kewangan, kumpulan kekal kukuh dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM59.36 juta berbanding RM3.67 juta pada tahun sebelumnya. Aliran tunai daripada operasi kekal positif pada RM131.66 juta, manakala perbelanjaan modal untuk aset tetap berjumlah RM47.83 juta, tertumpu kepada penyelenggaraan dan naik taraf hotel.

 

Jumlah dividen bagi tahun kewangan 2025 meningkat kepada 9 sen sesaham berbanding 8 sen pada tahun sebelumnya, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM39.60 juta. Ini termasuk dividen interim 3 sen dan cadangan dividen akhir 6 sen yang akan dibayar selepas kelulusan mesyuarat agung tahunan.

 

Secara keseluruhan, Shangri-La Hotels (Malaysia) Berhad menutup tahun kewangan 2025 dengan prestasi lebih kukuh, disokong pemulihan berterusan segmen pelancongan, peningkatan kecekapan operasi serta kedudukan kewangan yang stabil. 

 

Kumpulan dijangka terus mengekalkan momentum pertumbuhan sederhana ke arah 2026 walaupun berdepan cabaran pasaran hartanah dan ketidaktentuan global.- DagangNews.com