KUALA LUMPUR 20 Ogos – SD Guthrie Berhad dijangka terus meraih manfaat daripada prestasi kukuh segmen huluan pada separuh kedua 2025, meskipun operasi hiliran di Eropah kekal dalam tekanan.
Phillip Capital mengekalkan unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027, dengan anggaran pengeluaran buah tandan segar (BTS) lebih tinggi dan peningkatan hasil ladang di Papua New Guinea.
Tambah firma penyelidikan tersebut, kumpulan itu turut dibantu sumbangan stabil dari Indonesia yang menjadi pemacu utama pendapatan manakala purata harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka stabil.
"Kami meramalkan produk komoditi ini turut mampu mencecah harga sekitar RM4,339 satu tan metrik, iaitu peningkatan 9.5% berbanding tahun sebelumnya," kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.
Bagaimanapun menurutnya, penilaian saham SD Guthrie telah mencapai paras harga wajarannya selepas prestasi harga saham baru-baru ini, dan berdasarkan situasi itu, penarafan telah disemak semula.
Firma itu menurunkan saranan kepada ‘pegang’ berbanding 'beli’ dengan harga sasaran 12 bulan tidak berubah pada RM5.21, bersandarkan penilaian 22 kali ganda perolehan ke atas unjuran pada tahun 2026.
Secara am kata Phillip Capital, sepanjang enam bulan pertama 2025, kumpulan tersebut telah berjaya mencatatkan pertumbuhan BTS sebanyak 3% tahun ke tahun kepada 4.29 juta tan metrik.
"Ia mencatatkan 47% daripada sasaran tahunan, dan nisbah perahan minyak (OER) turut meningkat kepada 21.18% (+0.37 mata peratus) dan kos pengeluaran setiap tan MSM menurun kepada RM2,445," katanya.
Penyusutan itu tambah firma berkenaan, sejajar dengan panduan pengurusan bawah RM2,500 satu tan, manakala pelaksanaan pembajaan yang lebih awal, dijangka terus menjana penjimatan kos operasinya.
Usaha SD Guthrie itu kata Phillip Capital, termasuk inisiatif mekanisasi dan peningkatan tenaga kerja, yang diharapkan dapat meningkatkan kecekapan operasi pada tempoh separuh kedua tahun ini.
Kumpulan perladangan tersebut juga tambahnya, berusaha gigih menyasarkan secara purata pertumbuhan tahunan BTS sebanyak 3.8% yang ditetapkan dari 2024 hingga 2027, disokong ladang yang semakin matang.
"Syarikat turut aktif dalam strategi pengewangan aset tanah melalui usaha sama strategik dengan rakan kongsinya seperti EcoWorld, Sime Darby Property, TH Property, dan beberapa agensi negeri," katanya.
Pelbagai projek pembangunan dijangka menjana pendapatan tahunan sekitar RM500 juta hingga RM1 bilion dalam tempoh lima tahun, dengan sasaran keuntungan pelupusan RM500 juta hingga RM700 juta pada 2025.
Jika langkah itu berjaya dilaksanakan, strategi ini berpotensi meningkatkan profil SD Guthrie sebagai pemain perladangan unik yang memiliki sumber pendapatan berulang di luar operasi huluan tradisional.
Kata Phillip Capital, walaupun jangkaan pendapatan kekal positif bagi 2H25, terutama daripada segmen huluan, operasi hiliran di Eropah dijangka terus tertekan disebabkan faktor margin yang sempit.
"Unit hiliran di Asia namun menunjukkan tanda penstabilan dan kami mengingatkan pelabur mengenai beberapa risiko utama seperti penurunan atau kenaikan ketara harga sawit," katanya. - DagangNews.com








