KUALA LUMPUR 13 Nov – Prestasi kewangan Swift Haulage Berhad bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan 2025 dilihat masih lagi lemah, meskipun segmen tertentu pula menunjukkan peningkatan.
Sehubungan itu, dua firma penyelidikan utama tempatan terus mengekalkan pandangan yang berwaspada terhadap prospek jangka sederhana syarikat logistik bersepadu tersebut dalam nota masing-masing.
Maybank Investment Bank menilai keputusan 9 bulan pertama 2025 untuk kumpulan itu selari dengan jangkaan, selepas mencatat keuntungan bersih RM18.0 juta, bersamaan 54% daripada unjuran setahun.
"Kami menjangkakan suku keempat lebih kukuh berikutan faktor bermusim dan kadar penghantaran yang baik, tetapi penurunan margin kasar semua segmen utama menekan prestasi keseluruhan," katanya.
Ini jelas firma itu termasuk kesan penutupan loji pelanggan utama di Pengerang, Johor dan Melaka, manakala segmen 'freight forwarding' (FF) menjadi penyumbang apabila naik 52% tahun ke tahun (YoY).
Keadaan tersebut kata Maybank IB, didorong oleh faktor permintaan yang stabil daripada bahagian kargo projek dan penyertaan langsung Aman Logistiks yang diambil alih Swift Haulage pada Ogos 2024.
Sebaliknya, segmen pengangkutan darat (LT) serta depot kontena dan gudang (W&CD) masing-masing susut 35% dan 9% berikutan anjakan kepada perjalanan jarak pendek dan kadar penggunaan rendah.
"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 41 sen, namun memberi amaran mengenai pelancaran projek hab logistik nilai hijau (GVL) syarikat itu dijadualkan bermula 1Q26," katanya.
Tambah Maybank IB, situasi negatif tersebut melibatkan risiko pelaksanaan, tekanan margin, dan perbelanjaan operasi tinggi yang dikhuatiri boleh mengekang pemulihan margin Swift Haulage sendiri.
Berbeza dengan pandangan firma berkenaan, MBSB Research pula menilai keputusan 3QFY25 dicatatkan kumpulan tersebut sebagai mengecewakan, dengan pendapatan dan margin di bawah jangkaan awalnya.
Laporan mereka menunjukkan keuntungan bersih teras sebanyak RM5.1 juta pada 3QFY25, menjadikan jumlah sembilan bulan 2025 kepada RM17.9 juta, iaitu sekadar 58% daripada unjuran penuh setahun.
"Walaupun hasil didapati meningkat sebanyak 9.8% YoY, prestasi margin Swift Haulage sebenarnya adalah merosot akibat kos operasi yang tinggi dan beban cukai lebih besar," kata firma tersebut.
MBSB Research berkata, segmen 'container haulage' mencatat peningkatan hasil kasar 5.6% YoY setelah semakan kadar yang lebih tinggi sejak Julai 2025, manakala segmen LT susut teruk 41.0%.
Situasi itu ekoran peningkatan perjalanan jarak pendek bermargin rendah, dengan segmen W&CD juga lemah (-29.4%), manakala FF positif (+39.2%) dipacu kerja kargo projek dan janaan Aman Logistiks.
Ia menurunkan TP kepada 35 sen daripada 42 sen sambil mengekalkan saranan 'neutral' dengan turut memotong unjuran keuntungan FY25 hingga FY27 sebanyak 19% selepas mengambil kira tekanan margin.
Secara keseluruhan, dua firma itu menzahirkan nada berhati-hati terhadap prestasi Swift Haulage walaupun asas hasil masih kukuh dan kekal berada di fasa penstabilan operasi selepas pandemik.
Bagaimanapun, mereka yakin dengan strategi pengembangan seperti pembangunan kemudahan gudang baharu di Tebrau, Johor dan Pulau Pinang yang dijangka dapat menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Tahap keberkesanannya namun banyak bergantung keupayaan syarikat mengurus risiko pelaksanaan dan mengawal kos operasi dalam persekitaran persaingan logistik yang sengit. - DagangNews.com








