KUALA LUMPUR 3 April - Petronas Gas Berhad (PetGas) dijangka merasai kesan kewangan secara minimum berikutan kebocoran saluran paip gasnya di Putra Heights, Selangor yang dianggarkan kurang daripada lima peratus, kata penganalisis.
Mereka turut berpendapat,impak ke atas harga saham syarikat minyak dan gas (O&G) itu berkemungkinan juga akan membabitkan kurang daripada lima peratus.
Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade, Vincent Lau berkata, harga saham PetGas yang dibuka lebih rendah sedikit sebanyak satu peratus semalam, berikutan penarikan semula pemberhentian dagangan pada pukul 10 pagi, kebanyakannya merupakan reaksi secara mendadak.
"Penurunan sedikit dalam harga saham mungkin didorong oleh berita global, terutama pengumuman tarif timbal balik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan bukannya insiden saluran paip itu sendiri," katanya.
Beliau menambah, kedua-dua kesan kewangan dijangkakan itu menyebabkan penurunan harga saham dianggarkan kurang daripada lima peratus namun apa-apa yang di bawah angka tersebut sebenarnya dianggap sebagai tidak penting.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, PetGas menyaksikan peningkatan satu peratus tahun ke tahun (y-o-y) dalam keuntungan bersih kepada RM1.8 bilion, atau pendapatan sesaham sebanyak 92.80 sen.
Hasil syarikat berkenaan juga kata Vincent, meningkat sebanyak satu peratus y-o-y kepada RM6.5 bilion.
Pada Selasa, syarikat minyak nasional Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengesahkan bahawa insiden kebakaran telah berlaku di saluran paip utama PetGas berhampiran Putra Heights.
Ia disebabkan kebocoran yang mengakibatkan 190 rumah, 148 kereta dan 11 motosikal rosak, selain sekurang-kurangnya 305 orang terjejas namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Sementara itu, Pengurus dana Tradeview Capital, Neoh Jia Man berkata masih terlalu awal untuk menentukan tahap sebenar kesan insiden tersebut secara mutlak, terhadap PetGas.
Beliau berkata, beberapa anggaran mencadangkan potensi kos sekitar RM20 juta hingga RM30 juta, yang akan diterjemahkan kepada impak 1 hingga 2 peratus ke atas pendapatannya, memandangkan PetGas mempunyai asas pendapatan besar hampir RM2 bilion.
"Perniagaan pengangkutan gas PetGas menyumbang kira-kira 26 peratus daripada jumlah keuntungan segmennya. Beberapa unjuran mengesyorkan bahawa walaupun segmen itu mencecah 5 peratus, kesan keseluruhan ke atas keuntungan syarikat sehingga 2 peratus, yang tidak banyak. Inilah sebabnya reaksi harga saham agak terhad," katanya.
Neoh berkata beberapa ketidaktentuan utama kekal dengan salah satunya ialah dakwaan bahawa kejadian kebakaran saluran paip gas berpunca daripada aktiviti penggalian dalam tanah rizab Petronas.
"Jika ini benar, PetGas boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kontraktor atau pemaju yang terlibat untuk mendapatkan pampasan. Kebimbangan lain ialah sama ada syarikat itu ada modal cukup untuk membayar Petronas. Maka, PetGas sepatutnya mempunyai insurans liabiliti awam untuk menampung risiko tersebut," katanya.
Persoalan sekarang katanya, lebih kepada kesan operasi PetGas, khususnya berapa banyak gas yang dihantar melalui saluran paip terjejas dan sama ada bekalan boleh dialihkan melalui bahagian lain rangkaian saluran paip kumpulan itu.
Gas Malaysia yang merupakan pelanggan hiliran PetGas, kata beliau, telah menunjukkan bahawa bekalan gasnya kepada para pelanggan mungkin terjejas.
Memandangkan wajaran PetGas yang agak kecil iaitu 2.8 peratus dalam indeks FBM KLCI, Neoh berkata sebarang perkembangan negatif yang berkaitan dengan saham itu tidak mungkin memberi kesan ketara ke atas prestasi penanda aras bursa tersebut.
Pada masa ini, sentimen negatif mengelilingi tarif timbal balik oleh kerajaan AS ke atas importnya yang terus membayangi pasaran domestik.
Bagaimanapun, Neoh berpendapat bahawa, dalam jangka panjang, penurunan penarafan lima hingga 10 peratus untuk PetGas adalah wajar.
“Pelabur PetGas sentiasa melihat saham itu sebagai proksi bon. Risiko yang mereka bimbang adalah terutama perubahan dalam hasil bon dan juga peraturan seperti kadar tarif yang dibenarkan oleh syarikat untuk mengenakan caj pengangkutan gas serta pengegasan semula. Dua minggu lalu, kadar tarif telah dikurangkan sedikit," katanya.
Selanjutnya kata beliau, penurunan dalam hasil bon akan menjadi petanda baik untuk harga saham PetGas dan ini adalah risiko utama yang pelabur bimbang.
Insiden kebakaran saluran paip gas adalah sesuatu yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa pun dan memandangkan risiko seperti ini kini telah muncul, penurunan penarafan penilaian dalam jangka panjang adalah wajar.
Neoh menambah bahawa pelabur akhirnya boleh menolak risiko tersebut dan terus melihat syarikat berkenaan sebagai proksi bon.
Dalam laporan semalam, MIDF Research berkata dari segi kewangan, ia menganggarkan akan berlaku kemerosotan nilai satu kali ganda kira-kira RM18 juta hingga RM25 juta minimum daripada PetGas.
Ini termasuk kehilangan hasil untuk saluran paip yang terjejas sebanyak 10 hingga 15 peratus, pembaikan kerosakan (25 hingga 30 peratus), pampasan awam (25 hingga 35 peratus) dan pengurusan reputasi.
“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa ini adalah anggaran minimum kami dan sangat bergantung pada jenis kerosakan disebabkan perubatan, harta benda dan masa pemulihan.
“Selain itu, kami menganggarkan kos tambahan bernilai dua hingga tiga bulan berjumlah minimum RM5 juta untuk pampasan kepada pelanggan industri jika operasi mereka terjejas secara langsung oleh saluran paip kerana kerosakan letupan mengambil masa berbulan-bulan dibaiki," katanya. - DagangNews.com








