KUALA LUMPUR 3 Sept – IOI Corporation Berhad dijangka mencatat prestasi yang kukuh bagi tahun kewangan 2026 (FY26), disokong oleh pendapatan lebih tinggi daripada segmen perladangan.
Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), perkembangan tersebut berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih stabil dan pengeluaran buah tandan segar (BTS) semakin meningkat.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia mengekalkan saranan 'neutral terhadap kumpulan berkenaan dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM4.33 berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP).
"Dalam taklimat baru-baru ini, pengurusan IOI Corporation memperincikan hala tuju strategik lima tahun (2025-2029) dengan empat fokus utama," kata firma tersebut dalam nota kajiannya hari ini.
Ini tambah PublicInvest, termasuk usaha syarikat perladangan itu kepada pengembangan portfolio produk, inovasi berterusan, produktiviti dan kualiti, serta inisiatif kelestarian dan iklim.
Walaupun kerugian RM18 juta pada FY25 akibat penurunan nilai aset sebanyak RM39.2 juta berkaitan loji kayu sawit yang kurang dimanfaatkan, kumpulan tetap giat dalam aktiviti penanaman semula.
Tambah firma berkenaan, sejumlah 10,000 hektar telah berjaya ditanam semula, termasuk 500 hektar kelapa, dan menjadikan usia ladang IOI Corporation secara purata hanya kira-kira 12.2 tahun.
"Penggunaan baja telah selesai di Malaysia tetapi hanya 60% siap di Indonesia disebabkan hujan berterusan, manakala kadar penggunaan kilang penapisan berada sekitar 70%." kata PublicInvest.
IOI Corporation tambahnya, menyasarkan pertumbuhan pengeluaran BTS sebanyak 5% hingga 10% walaupun kawasan matang berkenaan dijangka menyusut akibat langkah penanaman semula agresif.
Kos pengeluaran BTS kata firma penyelidikan berkenaan, dijangka mampu meningkat sedikit daripada RM290 setiap metrik tan (mt) kepada RM300/mt, namun ditampung oleh hasil yang lebih tinggi.
Perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM900 juta dirancang, dengan 65% diperuntukkan kepada segmen huluan dan 35% kepada hiliran manakala projek utama telah digariskan kumpulan berkenaan.
"Ini meliputi kapasiti loji ester di Pulau Pinang ditambah kepada 24,000 tan dan peluasan ladang kelapa kepada 5,000 hektar, menjadikan ia pemain kedua terbesar di Malaysia," kata firma itu.
Segmen hiliran berasaskan sumber dijangka telah melepasi titik terendah, namun masih berdepan cabaran kos kernel sawit tinggi dan persaingan dari syarikat Indonesia yang lebih cekap kos.
PublicInvest berkata, IOI menjangkakan harga MSM stabil sehingga November 2025, dipacu permintaan menjelang musim perayaan dan sektor perladangan intensif buruh berpotensi dikecualikan levi.
Bagaimanapun kata firma tersebut, ia bergantung kepada usaha memperbaiki nisbah tanah kepada pekerja yang kini berada pada 1:10.3ha (Semenanjung), 1:7.5ha (Sabah), dan 1:7ha (Indonesia).
"Bagi syarikat bersekutu, Bumitama Agri Ltd, hanya sekitar 1,000 hektar atau 0.5% daripada 187,000 hektar tanah dijangka terjejas akibat penelitian pihak berkuasa Indonesia," katanya. - DagangNews.com








