Prestasi Inari diramal sederhana disebabkan penyusutan jumlah penghantaran modul iPhone – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi Inari diramal sederhana disebabkan penyusutan jumlah penghantaran modul iPhone – PublicInvest

Gambar - Apple
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac – Public Investment Bank mengekalkan penarafan Neutral ke atas saham Inari Amertron Berhad dengan harga sasaran baharu RM1.48 bagi tempoh 12 bulan, berikutan jangkaan pertumbuhan sederhana syarikat dalam tempoh terdekat.

 

Firma penyelidikan itu berkata terdapat beberapa cabaran dalam segmen Frekuensi Radio (RF) telefon pintar, yang menyumbang kira-kira 61 peratus daripada hasil kumpulan. 

 

“Dolar AS yang lemah dan kenaikan harga cip memori serta bahan mentah dilaporkan menekan margin keuntungan Inari.

 

“Inari menghadapi penurunan jumlah modul RF yang dihantar untuk generasi iPhone semasa, terutama dalam soket jalur pertengahan dan rendah, menyebabkan sebahagian kapasiti kilang syarikat tidak digunakan sepenuhnya

 

“Namun, segmen optoelektronik dan fotonik datacom dijangka kekal kukuh dengan permintaan modul optik 800G yang meningkat. Loji Inari di Filipina (CK2.1) sedang diperluas untuk menyokong pengeluaran 800G, yang dijangka memberi sokongan kepada prestasi syarikat,” kata PublicInvest dalam nota kajiannya hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan sederhana akan berlaku pada FY27 apabila Inari berpeluang memulihkan sebahagian kandungan RF bagi model iPhone 18 dalam segmen jalur pertengahan-tinggi. 

 

Namun, pertumbuhan kandungan RF iPhone dijangka kekal mendatar dalam jangka pendek disebabkan persaingan daripada vendor lain yang turut menyokong portfolio RF Broadcom.

 

t

 

Sementara itu, pengambilalihan Lumileds oleh Inari masih menunggu kelulusan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, dengan gambaran yang lebih jelas dijangka hanya diketahui pada akhir Mac. Sebarang keputusan berkaitan harta intelek dijangka memberi kesan kepada perancangan syarikat untuk segmen optoelektronik.

 

Dari segi kewangan, PublicInvest menurunkan ramalan hasil FY26 kepada RM1.196 bilion, turun 11 peratus berbanding FY25. 

 

EPS dijangka 5.1 sen, mencatat penurunan 26 peratus berbanding FY25. Bagaimanapun, syarikat dijangka mengekalkan pembayaran dividen yang menarik, dengan DPS sekitar 4.9 sen bagi FY26.

 

Saham Inari kini diniagakan pada RM1.31, manakala harga sasaran PublicInvest RM1.48 menunjukkan potensi pulangan sekitar 12.9 peratus. 

 

Penarafan Neutral mencerminkan jangkaan saham akan bergerak sekitar pasaran dalam lingkungan +/-10 peratus.

 

Modal pasaran Inari kini dianggarkan RM4.98 bilion dengan 3.79 bilion saham beredar. Antara pemegang saham utama ialah KWSP (14%), Insas (12.5%) dan KWAP (9.9%).

 

Dalam tempoh setahun, saham Inari mencatat julat harga RM1.21 hingga RM2.67, dengan prestasi mutlak menurun 38.6 peratus dalam enam bulan terakhir. Penurunan ini selari dengan kelemahan segmen RF dan faktor pertukaran mata wang asing.

 

PublicInvest berpandangan pemulihan sepenuhnya ke tahap puncak terdahulu mungkin mengambil masa lebih lama memandangkan pertumbuhan kandungan RF yang masih mendatar dan persekitaran USD yang lemah, namun segmen optoelektronik dijangka menjadi pemacu utama prestasi Inari pada FY27 dan seterusnya. - DagangNews.com