KUALA LUMPUR 8 Dis – Ibraco Berhad dijangka mencatat prestasi terbaik dalam sejarah syarikat pada tahun kewangan 2025, dipacu hasil kukuh pembangunan hartanah dan pembinaan, menurut TA Securities.
Berdasarkan perkembangan positif berkenaan, firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan saranan 'pegang' namun dengan harga sasaran disemak yang sedikit rendah kepada RM1.38 daripada RM1.41.
Jelasnya, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM57.3 juta bagi 9MFY25, mengatasi pendapatan setahun penuh FY24 sebanyak RM48.8 juta, dengan keuntungan terasnya melonjak kepada RM38.3 juta.
"Ini menunjukkan peningkatan 43% tahun ke tahun (YoY) dan tidak termasuk keuntungan pampasan tanah sebanyak RM19 juta daripada pengambilan wajib kerajaan," kata TA Securities dalam satu notanya.
Pengurusan Ibraco tambah firma itu, yakin momentum ini akan berterusan ke tempoh 4QFY25 dengan kemajuan pantas projek infrastruktur utama, dan menjadikan FY25 tahun paling kukuh dalam rekod.
Syarikat berkenaan juga tidak menolak kemungkinan pemberian dividen lebih tinggi, setelah jualan baharu pada 9MFY25, yang melonjak kepada RM289 juta berbanding hanya RM133 juta pada 9MFY24.
Perkembangan itu jelas TA Securities, didorong permintaan kukuh untuk deretan kedai strata di NorthBank Kuching dengan 90% sudah jual serta beberapa lagi projek di Sarawak dan Lembah Klang.
"Projek industri pertama Ibraco, PrimeBay Industrial Park di Demak Laut dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM154 juta, dilancarkan pada Ogos 2025 dan mencapai kadar ambilan 30%," katanya.
Dengan jualan semasa mewakili 83% daripada sasaran, pengurusan yakin matlamat RM350 juta dapat dicapai, selain tempahan belum dibil RM360 juta memberikan ketelusan pendapatan sehingga FY26.
Penjualan tanah bernilai RM35.4 juta kepada HMI Medical, yang kini dalam proses memenuhi syarat terdahulu, dijangka selesai dalam tempoh dua tahun dan bakal menyumbang untung bersih RM22 juta.
Walaupun lebih RM700 juta pelancaran baharu dirancang pada FY26, Ibraco kata TA Securities hanya menjangka jualan mendatar ekoran permintaan perlahan untuk projek komersial dan pangsapuri servis.
"Bagaimanapun buku tempahan pembinaan bernilai RM794 juta kekal menyokong pendapatan hingga FY27, termasuk projek ART, Second Trunk Road Samarahan dan kediaman pengendali di Bakun," jelasnya lagi.
Selain itu, meskipun tiada kontrak baharu dimenangi pada FY25, Ibraco menerima surat hasrat (LOI) bagi projek kuarters kerajaan bersaiz besar yang dijangka dianugerahkan secara rasmi awal FY26.
Syarikat berkenaan tambah firma tersebut, turut aktif dalam membida projek bernilai kira-kira RM900 juta, tidak termasuk projek Green Line KUTS kira-kira RM1 bilion dan kontrak kuarters kerajaan.
Justeru, TA Securities menurunkan unjuran keuntungan FY25 hingga FY27 antara 2.4% hingga 11% selepas menyesuaikan andaian jualan hartanah, jadual bagi buku tempahan pembinaan dan margin.
"Dengan semakan tersebut, kami menilai paras semasa sebagai adil, dengan sebahagian besar berita baik FY25 telah pun diambil kira dalam harga saham Ibraco sendiri," katanya. - DagangNews.com








