Prestasi Guan Chong pada 9M25 lemah berikutan pengeluaran lebih rendah - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi Guan Chong pada 9M25 lemah berikutan pengeluaran lebih rendah - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Dis Guan Chong Berhad mencatat prestasi 9M25 yang lemah berikutan pengeluaran lebih rendah, kerugian lindung nilai serta peningkatan kos kewangan dan cukai, menurut RHB Research.


Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'beli' tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM1.50 berbanding RM1.80 sebelum ini, dengan potensi kenaikan saham diunjur kira-kira 70%.


Untuk 9M25, keuntungan teras merosot kepada RM184 juta, susut 24.1% tahun ke tahun (YoY) meskipun hasil naik 68.6% YoY kepada rekod RM11.9 bilion, didorong harga jualan purata (ASP) lebih tinggi.


"Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 10.1% YoY kepada RM570.2 juta, namun keuntungan teras pula terjejas oleh kos faedah meningkat 34% YoY," katanya.


Selain itu tambah RHB Research, kadar cukai lebih tinggi, serta kerugian lindung nilai direalisasi berjumlah RM912 juta setakat sembilan bulan pertama tahun ini memberi kesan kepada Guan Chong..


Firma berkenaan menjelaskan, volum pengeluaran koko syarikat berkenaan pada 3Q25 turut susut 22% YoY, dengan kadar penggunaan kapasiti jatuh kepada kira-kira 70% berbanding sebanyak 90% pada 3Q24.


Volum jualan menurun 7.1% YoY, menyebabkan keuntungan teras susut kepada RM41.2 juta, turun 50.5% YoY, tetapi margin masih lagi sihat dengan hasil RM2,303 setiap tan, disokong kekuatan ASP produk.


"Lebih penting, aliran tunai operasi Guan Chong dinilai kembali positif buat pertama kali dalam 1.5 tahun kepada RM333 juta, manakala nisbah hutang bersih turun kepada 1.71 kali," kata RHB Research.


Perkembangan tersebut jelasnya, berikutan normalisasi harga biji koko dan kos lindung nilai, namun melihat ke depan, firma itu menjangkakan permintaan mula pulih dengan sokongan pengecualian tarif.


Walaupun volum pengisaran kekal lemah sepanjang 2H25 susulan reformulasi dan penangguhan pembelian oleh pengeluar coklat, ia menjangkakan pemulihan bermula 2026 apabila pasaran koko kembali stabil.


RHB Research menurunkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 sebanyak 7% hingga 20%, mencerminkan kadar penggunaan lebih rendah, nisbah gabungan yang lemah serta kos kewangan dan cukai tinggi.


"Walaupun demikian, Guan Chong kekal menarik dengan penilaian pendapatan normalisasi serta strategi kontrak jangka panjang, peluasan serantau dan integrasi menegak," katanya. - DagangNews.com