KUALA LUMPUR 24 Nov – Prestasi Elsoft Research Berhad bagi 9M25 terus berada pada tahap yang lemah, apabila keuntungan bersih teras kumpulan merosot 90.2% kepada RM0.2 juta, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan negatif itu disebabkan permintaan yang jauh lebih lembap dalam hampir semua segmen perniagaan syarikat sepanjang tempoh sembilan bulan berkenaan.
Tambahnya, pendapatan kumulatif kumpulan tersebut turut susut 34.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM6.7 juta, meletakkan pencapaian syarikat hanya kira-kira 4.4% daripada unjuran setahun firma itu.
"Bagaimanapun, Elsoft menunjukkan tanda pemulihan kukuh pada asas sukuan (QoQ) apabila pendapatan pada 3QFY25 berjaya melonjak 104.4% kepada RM3.3 juta," jelas TA Securities dalam notanya hari ini.
Situasi positif berkenaan kata firma tersebut, didorong oleh peningkatan ketara daripada segmen peranti perubatan serta prestasi yang lebih stabil dalam bahagian peralatan ujian automatik (ATE).
Ini membolehkan syarikat kembali mencatat keuntungan teras RM1.1 juta, berbanding kerugian RM0.4 juta pada 2QFY25, dan Elsoft turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 0.5 sen sesaham.
Kedudukan kewangan syarikat penyelidikan, rekaan dan pembangunan sistem itu kata TA Securities, masih kekal kukuh dengan tunai bersih RM79.3 juta tanpa sebarang hutang setakat akhir suku ketiga.
"Kami menjangka situasi pasaran semikonduktor global terus mencabar, terutama segmen automotif, pencahayaan am dan peranti pintar, berikutan permintaan pelanggan masih berhati-hati," tambahnya.
Firma tersebut namun melihat segmen peranti perubatan sebagai pemacu utama pertumbuhan Elsoft dalam suku-suku akan datang, sejak syarikat berkenaan ditubuhkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 2003.
Sehubungan perkembangan itu, TA Securities kemudian menyemak turun unjuran pendapatan Elsoft pada FY25, FY26 dan FY27 yang masing-masing kepada sebanyak RM2.1 juta, RM8.9 juta dan RM9.2 juta.
Harga sasaran sesaham turut dikurangkan daripada 37 sen kepada 32 sen, berasaskan 25 kali hasil 2026, namun saranan 'beli' dikekalkan memandangkan prospek pemulihan didorong segmen perubatan.
Ia memberi amaran risiko utama termasuk permintaan ATE dan peranti perubatan lebih rendah daripada jangkaan serta ketegangan geopolitik yang boleh mengganggu rantaian bekalan global. - DagangNews.com








