KUALA LUMPUR 24 Sept – Prestasi CPE Technology Berhad dijangka terjejas dalam tempoh separuh pertama tahun kewangan 2026 ekoran aktiviti tempahan awal berlebihan oleh pelanggan utama.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), perkembangan tersebut menyebabkan kumpulan berkenaan perlu melaksanakan pelarasan semula inventori apabila tiada lagi tempahan baharu diterima.
Walaupun kesan jangka pendek ini mengundang kebimbangan pasaran, firma itu mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM1.00 berdasarkan prospek pertumbuhan jangka panjangnya masih kukuh.
"Pelanggan utama CPE yang dirujuk sebagai 'E' difahamkan sedang menjalankan pelarasan lebihan stok susulan tempahan awal tinggi sebelum ini," kata firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.
Bagaimanapun tambah Maybank IB, aktiviti tersebut dijangka hanya selesai menjelang tempoh suku ketiga tahun ini dan selepas itu, aliran tempahan yang baharu dijangka dapat kembali normal.
Apa yang paling penting katanya, pelanggan itu masih bergantung sepenuhnya kepada CPE sebagai pembekal tunggal, dengan proses kelayakan pembekal alternatif masih belum lagi dimuktamadkan.
Perkembangan itu jelas firma berkenaan, menunjukkan kepercayaan tinggi oleh pelanggan tersebut ke atas tahap keupayaan CPE sendiri dalam memastikan bilangan bekalan dihantarnya adalah tepat.
"Sambil mengurus cabaran semasa, kami difahamkan CPE melangkah ke hadapan dengan menyasarkan tiga pelanggan baharu dalam rantaian bekalan sistem gas bersepadu (IGS)," kata Maybank IB.
Ia tambahnya, merangkumi pelbagai komponen seperti sensor tekanan, pengawal tekanan dan Mass Flow Controllers (MFC), dengan semua pelanggan itu ketika ini berada di peringkat pengeluaran perintis.
Justeru Maybank IB yakin CPE berpotensi memasuki fasa pengeluaran besar-besaran seawal suku pertama 2026 dan jika berjaya, ia berupaya membuka sumber pendapatan baharu dalam pasaran IGS.
Pada masa sama katanya, 'Pelanggan H', yang memulakan pengeluaran berskala besar bersama CPE, dijangka meningkatkan tempahan seawal hujung 2025, berikutan pelan perluasan fasiliti akhir.
"Ini satu lagi pemangkin pertumbuhan jangka sederhana positif dan meskipun saham CPE menunjukkan kelemahan baru-baru ini, kami percaya ia didorong sentimen hasil jangka pendek perlahan," katanya.
Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada dan menyifatkan asas pertumbuhan CPE sebagai masih teguh, disokong perluasan segmen bernilai tinggi dan hubungan kukuh dengan pelanggan utama.
Firma tersebut namun percaya situasi kelembapan semasa hanya bersifat sementara, dan CPE berada di landasan kukuh untuk pertumbuhan yang lebih agresif bermula FY26. - DagangNews.com








