Prestasi beberapa sektor utama merosot pada 1HFY25, DRB-Hicom kekal waspada | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi beberapa sektor utama merosot pada 1HFY25, DRB-Hicom kekal waspada

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 OgosDRB-Hicom Berhad mencatatkan prestasi bercampur pada separuh pertama tahun kewangan 2025, apabila beberapa sektor utama dalam kumpulan itu menunjukkan penyusutan hasil.


Dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan, hasil merosot 12.7% kepada RM343.91 juta berbanding RM394.06 juta pada 1HFY24, akibat penghantaran pesawat dan alat ganti terpilih yang lebih rendah.


Situasi itu susulan permintaan lebih lembap daripada beberapa syarikat penerbangan, manakala segmen perkhidmatan pos berdepan tekanan berterusan dengan meningkat tipis 1.5% tahun ke tahun (YoY).


"Segmen ini mencatatkan hasil RM890.49 juta, disebabkan kemerosotan berpanjangan perkhidmatan mel tradisional dan kelemahan dalam operasi pengurusan kargo," maklum DRB-Hicom kepada Bursa Malaysia.


Sementara itu, kumpulan mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM123.19 juta dalam suku kedua 2025 (2QFY25) berbanding RM25.93 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.


Ia menjangkakan prospek sederhana bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, disebabkan cabaran luaran dan persaingan yang semakin sengit, terutamanya dalam sektor automotif di pasaran tempatan.


Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jumlah volum industri (TIV) bagi 2025 akan lebih rendah berbanding pada 2024, dengan kekal terkesan teruk akibat permintaan pengguna yang lemah.


"Prestasi jualan model baharu DRB-Hicom, khususnya jenama Proton, akan banyak bergantung kepada sentimen pengguna, keadaan ekonomi semasa, dan kesan rasionalisasi subsidi bahan api," tambahnya.


Bagaimanapun, dalam separuh pertama 2025, sektor automotif mencatatkan pertumbuhan hasil 1.7% YoY kepada RM5.68 bilion, disokong oleh campuran jualan menguntungkan dan pertambahan jualan kenderaan.


Untuk 1HFY25, kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM215.81 juta, berbanding RM236.70 juta dalam tempoh sama 2024, walaupun hasil naik 2.0% kepada RM8.25 bilion daripada RM8.09 bilion pada 1HFY24.


Sektor perbankan menjadi penyumbang kepada prestasi suku kedua, dengan peningkatan pendapatan sebanyak 5.3% kepada RM1.09 bilion, dipacu pertumbuhan pinjaman mampan serta pemulihan akaun.


"Segmen hartanah pula menunjukkan lonjakan hasil sebanyak 34% YoY kepada RM140.92 juta, didorong faktor sumbangan projek pembangunan dan konsesi hartanah," tambah kenyataan DRB-Hicom lagi.


Sektor perkhidmatan turut menyokong pertumbuhan hasil kumpulan itu dengan kenaikan 14.5% kepada RM103.49 juta, hasil peningkatan penyertaan dalam perniagaan pemeriksaan kenderaan komersial.


Ia menjangkakan situasi sederhana bagi FY25, sejajar pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan antara 4.0% hingga 4.8%, namun berdepan ketidaktentuan luaran termasuk risiko tarif Amerika Syarikat (AS).


Pelarasan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 2.75% pada Julai 2025 dilihat bertujuan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana inflasi yang sederhana.


"Bagi menghadapi cabaran, komitmen terus diperkukuh menerusi pengurusan risiko lebih teguh dan inisiatif kelestarian, selain transformasi digital khususnya sektor perbankan dan pos," katanya. - DagangNews.com