KUALA LUMPUR 19 Sept – Prestasi suku pertama kewangan berakhir 31 Julai 2025 Cypark Resources Berhad ternyata mengecewakan, apabila mencatatkan kerugian bersih teras sebanyak RM26.8 juta.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), keadaan pada 1QFY26 adalah lebih tinggi berbanding kerugian bersih kira-kira RM25.4 juta direkodkan oleh kumpulan itu pada suku yang sama tahun lalu.
Firma itu berkata, penurunan prestasi ini disumbangkan oleh penyusutan pendapatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentaulihan (EPCC) berikutan projek Hospital Rawang yang hampir siap.
"Ia turut disebabkan isu gangguan sementara operasi loji sisa ke tenaga (WTE), dan susulan itu, kami menurunkan harga sasaran sesaham Cypark kepada 88 sen daripada 94 sen sebelum ini," katanya.
Walaupun pendapatan kumpulan jatuh 16.4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM41.7 juta, segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) menjadi titik kebangkitan semula apabila mencatatkan lonjakan pendapatan.
Kata Maybank IB, ia menyumbang 20% YoY, disokong oleh jualan tenaga elektrik daripada projek solar berskala besar (LSS) 3 dan sumbangan lebih tinggi daripada biogas loji efluen kilang sawit (POME).
Kecekapan kos hasil inisiatif dalaman turut berjaya meningkatkan margin perolehan kasar kepada 52% berbanding 38% pada 1QFY25, sekali gus menyokong aliran tunai operasi positif iaitu RM21.9 juta.
"Bagaimanapun, Cypark masih menanggung kos susut nilai dan faedah pinjaman yang tinggi, dengan kadar penukaran buku tempahan EPCC dijangka perlahan," kata firma penyelidikan itu dalam notanya.
Prospek pertumbuhan jangka sederhana namun tambah Maybank IB, masih terjamin melalui buku tender yang bernilai RM3.5 bilion, dengan RM2.2 bilion daripadanya disasar untuk ditukar kepada kontrak.
Selain itu, ia dibantu penyertaan 51% dalam projek LSS 100MW bersama Sunview Group Berhad dan cadangan perluasan Loji WTE Fasa 2, yang masih menunggu kelulusan kerajaan menjelang akhir FY25.
Firma tersebut menambah, jika kelulusan WTE Fasa 2 diperoleh lebih awal daripada jangkaan, ia berpotensi membawa kejutan pendapatan secara positif kepada pertumbuhan jangka panjang Cypark.
"Kos pembiayaan yang rendah selepas penstrukturan semula hutang dengan anggaran 5% berbanding 6.8% sebelum ini, dijangka dapat mengurangkan tekanan kerugian secara beransur-ansur," kata Maybank IB.
Ia menjangka kerugian bersih teras RM69.5 juta pada FY26, berbanding sebelum ini keuntungan RM4.7 juta, berikutan kelewatan dalam pengiktirafan hasil EPCC dan pemulihan perlahan pendapatan WTE.
Unjuran Cypark untuk FY27 dan FY28 namun kekal tidak berubah, didorong oleh pendapatan berulang lebih tinggi daripada LSS3, dan sumbangan normal daripada operasi WTE selepas stabil sepenuhnya.
Pada masa sama, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Cypark dengan mengambil kira kerugian berterusan dalam masa terdekat, tetapi disokong pertumbuhan segmen RE dan pemulihan WTE.
Secara keseluruhan kata Maybank IB, Cypark berdepan cabaran ketara dalam suku pertama, namun harapan masih wujud menerusi projek tenaga hijau dan strategi jangka sederhana. - DagangNews.com








