Press Metal bentuk usaha sama bangunkan loji produk tenaga bersih bernilai RM600 juta di Bintulu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Press Metal bentuk usaha sama bangunkan loji produk tenaga bersih bernilai RM600 juta di Bintulu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 DisPress Metal Aluminium Holdings Berhad menubuhkan syarikat usaha sama (JV), Press Metal PV (Sarawak) Sdn Bhd (PMPV) bagi membangunkan loji ekstrusi produk tenaga bersih.


Menurut kumpulan itu, ia susulan pemeteraian perjanjian pemegang saham melalui anak syarikat tidak langsungnya, PMB Aluminium Sdn Bhd (PMBA), dengan Bintulu Capital Sdn Bhd (BCSB) baru-baru ini.


JV ini melibatkan pembangunan loji di Bintulu, Sarawak dengan kapasiti pengeluaran awal 80,000 tan metrik setahun di atas tanah berkeluasan 39.61 hektar, dan pelaburan keseluruhan dianggarkan RM600 juta.


"Pembiayaan projek akan merangkumi RM120 juta sumbangan ekuiti oleh PMBA dan BCSB, manakala RM480 juta dibiayai melalui pinjaman luar diperoleh PMPV," maklum Press Metal kepada Bursa Malaysia.

 

 

 

 

 

 


Melalui tiga peringkat langganan saham, PMBA akan melabur RM96 juta dan memiliki 80% kepentingan dalam PMPV, manakala BCSB akan melabur sebanyak RM24 juta bagi pegangan baki kira-kira 20%.


Tambah kumpulan berkenaan, pembiayaan PMBA akan menggunakan sumber dalaman sendiri, dan Press Metal bersedia menyediakan jaminan korporat sekiranya diperlukan bagi pembiayaan projek tersebut.


Pembantukan JV itu jelasnya, menyokong aspirasi hijau kumpulan dan memperluaskan operasi produk tenaga bersih, khususnya bagi pengeluaran rangka solar bagi industri tenaga boleh dibaharui (RE).


"Loji baharu ini akan meningkatkan integrasi pembuatan kumpulan, menambah kecekapan operasi dan memperkukuh portfolio hiliran berasaskan aplikasi ekstrusi bernilai tambah," kata Press Metal.


Selain itu, kumpulan turut melihat potensi pertumbuhan kukuh dalam segmen produk solar yang mengalami ekstrusi, dipacu permintaan global terhadap RE dan pembangunan infrastruktur solar.


Di samping itu, jelasnya, ia menilai risiko utama termasuk pulangan pelaburan yang kemungkinan lebih rendah daripada jangkaan serta risiko politik, ekonomi dan regulatori, khususnya di Sarawak.

 

 

 

 

 


Bagaimanapun, lembaga pengarah yakin impak jangka panjang adalah positif dan penubuhan JV ini akan mengukuhkan kedudukan Press Metal dalam rantaian nilai tenaga bersih di negara ini serta ASEAN.


Projek ini tidak memberi kesan material kepada modal saham, pemegang saham utama, aset bersih atau kadar hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. - DagangNews.com