Powerwell ambil alih 49% kepentingan Tenaga Kenari di Sarawak bernilai RM16.7 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Powerwell ambil alih 49% kepentingan Tenaga Kenari di Sarawak bernilai RM16.7 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 DisPowerwell Holdings Berhad mengambil alih 49% kepentingan dalam dua buah syarikat pakar pengagihan tenaga yang berpangkalan di Sarawak, dengan nilai berjumlah RM16.7 juta.


Kumpulan tersebut berkata, ia susulan pemeteraian perjanjian jual beli saham bersyarat melibatkan Tenaga Kenari Sdn Bhd bernilai RM12.5 juta dan Tenaga Kenari Marketing Sdn Bhd pula sebanyak RM4.2 juta.


Pengambilalihan ini merupakan sebahagian strategi pertumbuhan lima teras kumpulan itu menembusi peluang perniagaan luas di Sabah dan Sarawak serta memperkukuh keupayaan teknikal Powerwell.


"Tenaga Kenari memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam reka bentuk dan pembuatan suis gear dan sistem kawalan elektrik berprestasi tinggi," jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Katanya, kepakaran syarikat tersebut meliputi sektor semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi, utiliti, infrastruktur, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan petrokimia di seluruh negeri berkenaan. 


Selain itu, tambah Powerwell, rekod syarikat tersebut amat baik apabila sudah berjaya menyiapkan lebih 150 projek dengan nilai agregat yang melebihi RM100 juta dalam tempoh 10 tahun lalu.


Cadangan pengambilalihan hampir separuh berkenaan jelas kumpulan itu, turut disertakan dengan jaminan keuntungan selepas cukai terkumpul sebanyak RM12 juta bagi tempoh tiga tahun kewangan. 


"Keadaan ini menterjemahkan penilaian pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) kira-kira 8.5 kali, yang berdasarkan penilaian Tenaga Kenari sebanyak RM34 juta," tambah kenyataan tersebut.


Sementara itu, Pengarah Urusan Powerwell Catherine Wong Yoke Yen berkata, langkah strategik itu memberikan akses segera kepada pelanggan dan industri baharu yang lebih luas di Sabah dan Sarawak.


Ia turut meluaskan portfolio produk dan kapasiti pengeluaran kumpulan, dengan pengambilalihan dijangka menyumbang kepada pendapatan serta menyokong pelaksanaan projek berskala lebih besar.


Powerwell menjangkakan cadangan pengambilalihan itu akan dimuktamadkan selewat-lewatnya 31 Mac 2026, tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat perjanjian dan kelulusan berkaitan. - DagangNews.com