KUALA LUMPUR 6 Feb - Kerajaan digesa agar mengurangkan perbelanjaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), terutama faedah yang sering dinikmati pegawai tertingginya, kata Aliran.
Langkah itu adalah lebih baik dan bukan menaikkan tarif elektrik untuk industri, sambil ia menyatakan kebimbangan kos pemain komersial akan dipindahkan pula kepada pengguna serta bakal memburukkan lagi inflasi.
Aliran juga mempersoalkan keperluan TNB untuk menaikkan kadar tarif di Semenanjung Malaysia ketika keuntungan syarikat utiliti awam itu dilaporkan melonjak dengan cukup baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia malah menambah, TNB berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.74 bilion dari Januari hingga September 2024, peningkatan 71.2% tahun ke tahun berbanding rekod tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, merujuk laporan tahunan TNB untuk 2023, ia berkata pengarah firma tersebut memperoleh sekitar RM7 juta dengan pengarah bukan eksekutifnya menerima sehingga RM20,000 sebulan dalam pelbagai yuran.
"Kerajaan harus mengarahkan TNB agar kena melaksanakan 'perkhidmatan negara' dengan mengurangkan kadar gaji, elaun, dan faedah dirasai pihak atasan sebelum menaikkan tarif," tegas Aliran dalam satu kenyataan.

Organisasi tersebut juga menggesa syarikat berkenaan untuk menyemak semula perjanjiannya dengan beberapa pengeluar tenaga bebas tempatan dalam usaha berterusan bagi mengoptimumkan kos mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu dilaporkan berkata, sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua 2025 akan dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan perniagaan tidak terbeban.
Beliau malahan memberikan jaminan bahawa sejumlah 85% isi rumah di Semenanjung Malaysia yang dikategorikan sebagai golongan berpendapatan rendah itu masih lagi akan terus menerima subsidi seperti biasa.
Juster ujarnya, tarif tidak akan dinaikkan sehingga 14% dan akan berdasarkan mekanisme pelepasan kos tidak berimbangan yang melaraskan kadar elektrik berdasarkan turun naik kos bahan api sebenar, disemak setiap enam bulan.
Tarif elektrik ditetapkan di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan kadarnya turut perlu disemak semula dalam tempoh setiap tiga tahun.
Sebelum ini dilaporkan bahawa kerajaan sedang memuktamadkan tarif baharu untuk pengguna di Semenanjung Malaysia, yang ditetapkan separuh kedua tahun ini iaitu pelaksanaan dari Julai hingga Disember. - DagangNews.com








