KUALA LUMPUR 22 Ogos – YTL Power International Berhad mengumumkan prestasi kewangan bagi suku keempat tahun kewangan 2025 yang terus menunjukkan kekuatan operasi kumpulan berkenaan.
Menurut beberapa firma penyelidikan, ia dipacu peningkatan sumbangan PowerSeraya dan Wessex Water, namun berbeza pandangan susulan lonjakan harga saham sebanyak 64% dalam enam bulan terakhir.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan saranan daripada 'beli' kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) dinaikkan sedikit kepada RM4.25 berbanding RM4.20 sesaham sebelum ini,
"Langkah ini dilakukan selepas kami mengambil kira penukaran waran dan pelanjutan tahun asas penilaian walaupun keputusan 4QFY25 sejajar dengan jangkaan," katanya dalam nota kajiannya.
Semalam, YTL Power melaporkan keuntungan bersih teras RM648 juta, meningkat 32% suku ke suku (QoQ) dengan menyaksikan harga saham semasa kumpulan itu mencerminkan kebanyakan pemangkin positif.
Bagaimanapun Maybank IB menyatakan terdapat potensi peningkatan daripada pengewangan projek pusat data (DC) dijana kecerdasan buatan (AI) dan kapasiti komputasi lebih tinggi daripada jangkaan.
Sementara itu, CGSI masih mengekalkan saranan 'pegang', namun ia meningkatkan TP kepada RM4.20, merujuk keperluan ketelusan lebih jelas dalam hala tuju projek DC AI dan prospek aset baharu.
"Ini ialah kunci penilaian semula dan keuntungan bersih normalisasi suku ini meningkat 28% QoQ kerana disokong oleh peningkatan jualan elektrik PowerSeraya (+6% QoQ)," kata firma berkenaan.
Katanya, tidak ketinggalan ialah kenaikan tarif Wessex Water sebanyak 21% bermula April 2025 dan kerugian besar segmen telekomunikasi akibat penurunan bil pengebilan yang terus menjadi halangan.
Setakat ini kata CGSI, YTL Power disokong projek DC berkapasiti 188MW yang disewakan, manakala DC dijana AI 20MW dijangka mula disewakan hujung 2025 dengan separuh digunakan dalaman kumpulan itu.
Dalam pada itu, RHB Research kekal optimis dengan prospek kumpulan dan mengekalkan saranan 'beli' dengan kenaikan ketara TP kepada RM4.77 daripada RM4.18, yang memberi potensi kenaikan 10%.
"Kami turut menaikkan unjuran keuntungan kumpulan ini dari FY26 hingga FY27 sebanyak 5%, yang berdasarkan peningkatan sumbangan daripada Wessex Water dan PowerSeraya," kata firma berkenaan.
Bagi keputusan FY25 yang telah diumumkan tambahnya, keuntungan bersih teras dicatatkan sebanyak RM2.7 bilion, susut 19% tahun ke tahu (YoY) selari dengan jangkaan firma tersebut dan konsensus.
Keuntungan pada tempoh 4QFY25 pula kata RHB Research meningkat 1% QoQ kepada RM636 juta, sebahagian besar disumbang oleh peningkatan margin PowerSeraya dan tarif baharu Wessex Water.
Ia namun melihat potensi penambahan nilai jika YTL Power berjaya memperoleh beberapa kontrak loji janakuasa gas yang baharu dan tambahan tender projek penyimpanan tenaga grid. - DagangNews.com








