KUALA LUMPUR 3 Nov - CIMB Securities memulakan liputan analisis ke atas United Malacca Berhad dengan memberi saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) sebanyak RM6.42 ke atas saham syarikat ini.
Firma penyelidikan itu menegaskan yang syarikat tersebut menawarkan pendedahan stabil dan kurang terjejas ketika ekonomi tidak menentu, namun masih lagi dinilai rendah dalam sektor perladangan.
Ia berpandangan, kekuatan asas syarikat itu disokong oleh nilai aset kukuh, aliran dividen teguh dan potensi peleraian aset tanah yang mampu menjadi pemangkin penilaian semula kumpulan tersebut.
"Walaupun unjuran pendapatan dijangka sederhana akibat andaian harga minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah, kami menjangkakan peningkatan daripada hasil ladang," kata CIMB Securities dalam notanya.
Disiplin kawalan kos juga membantu United Malacca mengimbangi tekanan terhadap keuntungan dan ia menilainya sebagai antara pemain perladangan berprofil defensif dengan kedudukan kewangan sihat.
Syarikat ditubuhkan sejak 1910 itu merupakan salah satu kumpulan perladangan tertua di Malaysia, dengan 27,647 hektar ladang kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia serta memiliki tiga kilang pemprosesan.
Struktur pemegang sahamnya kata CIMB Securities, turut diperkukuh menerusi penyertaan Prosper Group of Companies yang kini memegang 32% ekuiti, selain mengekalkan legasi keluarga pengasas.
"Kekuatan utama United Malacca terletak pada ladang tempatan yang matang dan peningkatan hasil daripada ladang muda di Indonesia, dengan 72% pokok sawit berada pada usia produktif," katanya.
Ia menjangkakan pengeluaran tandan buah segar (BTS) meningkat sebanyak 2.0% hingga 3.5% setahun bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028, didorong oleh pertambahan hasil daripada penanaman semula.
Di samping itu kata CIMB Securities, mekanisasi ladang dan pengurusan operasi lebih cekap, turut menjana syarikat memiliki kedudukan tunai bersih kukuh sebanyak RM155 juta setakat April 2025.
Situasi tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, berjaya membolehkan syarikat mengekalkan pembayaran dividen secara mampan sambil berupaya membiayai pengembangan strategik yang terpilih.
"Bagi tempoh FY26 hingga FY28, kami mengunjurkan keuntungan bersih masing-masing RM101.8 juta, RM97.4 juta dan RM96.9 juta, menunjukkan penurunan sederhana berbanding FY25," tambahnya lagi.
Perkembangan lemah tersebut kata CIMB Securities, berikutan andaian harga MSM yang lebih rendah sekitar RM3,982 hingga RM4,069 satu tan serta harga isirung sawit RM2,825 hingga RM2,886 satu tan.
Potensi saham United Malacca jelasnya, kekal dinilai rendah berbanding syarikat setara dalam sektor perladangan, dengan prospek pemangkin datang daripada peningkatan produktiviti di Indonesia.
Gabungan faktor kedudukan kewangan kukuh, dan inisiatif peleraian aset tanah menjadikan syarikat itu pilihan pelaburan menarik dalam persekitaran harga MSM tidak menentu. - DagangNews.com








