Potensi raih pelbagai projek bernilai tinggi, RHB Research naikkan harga sasaran Gamuda kepada RM6.52 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Potensi raih pelbagai projek bernilai tinggi, RHB Research naikkan harga sasaran Gamuda kepada RM6.52

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Ogos — RHB Research menaikkan harga sasaran (TP) sesaham Gamuda Berhad kepada RM6.52 berbanding sebelum ini RM5.86, didorong potensi daripada pelbagai projek bernilai tinggi.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kenaikan sebanyak 16 peratus itu juga mencerminkan prospek hasil kumpulan berkenaan yang meraih banyak kontrak besar sama ada di Malaysia sendiri dan luar negara.

 

Tambahnya, kumpulan itu bukan sahaja mempelbagaikan portfolio geografinya, malah memperluaskan lagi pekerjaan sedia ada terutama segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) meliputi hidro, angin dan solar.

 

"Gamuda juga dilihat semakin aktif dalam beberapa projek kereta api dan pembangunan pusat data (DC) serta projek infrastruktur yang berkaitan bekalan air," kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Ia terus menggemari kumpulan berkenaan dan percaya saham syarikat itu seharusnya didagangkan lebih tinggi sebanyak 23 kali ganda daripada unjuran FY26 semasa dan purata sejarah dalam lima tahun.

 

Perkembangan itu menurutnya, berdasarkan usaha kumpulan meneroka banyak peluang tenaga hijau di Australia yang menaikkan sasaran Skim Pelaburan Kapasiti kepada 40GW daripada 32GW pada Julai 2025.

 

Langkah kerajaan negara tersebut kata RHB Research, dijangka memacu potensi hampir A$52 bilion (kira-kira RM143.29 bilion) dalam pelaburan teknologi solar dan angin kepada pelbagai syarikat.

 

"Setakat ini, Gamuda melalui rakannya, DT Infrastructure, telah memperoleh projek ladang angin darat di Queensland dan projek ladang solar di New South Wales pada FY25," kata firma berkenaan.

 

Kedua-dua tender tersebut yang masing-masing bernilai RM700 juta dan RM1.8 bilion menawarkan potensi kepada kumpulan berkenaan memperluaskan kehadirannya di Australia dalam jangka panjang.

 

RHB Research juga tertarik dengan kejayaan syarikat itu dalam projek berkaitan RE domestik dan air seperti Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, Negeri Sembilan yang dijangka beroperasi pada 2030.

 

Selain itu katanya, penglibatan Gamuda dalam projek Skim Bekalan Air Perak Utara yang akan siap pada 2031, dijangka memberikan pendapatan berulang sekurang-kurangnya RM50 juta setiap tahun.

 

"Berdasarkan perkembangan yang cukup positif direkodkan kumpulan berkenaan, kami masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan TP dinaikkan," kata firma tersebut. - DagangNews.com