Potensi projek baharu, perdagangan pulih dorong sektor bahan pembinaan mula aktif – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Potensi projek baharu, perdagangan pulih dorong sektor bahan pembinaan mula aktif – RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 OktSektor bahan pembinaan dijangka meraih prospek pertumbuhan cerah didorong potensi daripada banyak projek baharu yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, pemulihan kestabilan perdagangan global yang semakin ketara akhir-akhir ini turut menjadi faktor yang dijangka merangsang permintaan terhadap bahan pembinaan.


Ini katanya lagi, termasuk produk aluminium dan simen, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor berkenaan secara keseluruhan dengan ia mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor tersebut.


"Press Metal Aluminium Holdings Berhad menjadi pilihan utama kami kerana mencatatkan keuntungan teras RM950 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2025," kata RHB Research dalam satu notanya.


Ia didapati naik 2% berbanding tahun sebelumnya dan lonjakan harga aluminium menyokong prestasi ini, meskipun margin kasar menyusut akibat peningkatan harga alumina 12% tahun ke tahun (YoY).


Malayan Cement Berhad turut dipilih setelah melaporkan keuntungan teras RM678 juta bagi tahun kewangan berakhir Jun 2025, naik 35% YoY, dipacu kecekapan operasi dan penurunan kos arang batu.


Selain itu, harga aluminium di Bursa Logam London (LME) kata RHB Research, pulih kepada paras AS$2,600 (RM19,958) satu tan selepas merosot daripada AS$2,300 (RM9,693) setiap tan pada April 2025.


"Pada ketika itu harganya rendah ekoran kebimbangan tarif Amerika Syarikat (AS), namun penangguhan 90 hari ke atas China membantu meredakan tekanan permintaan jangka pendek," tambah RHB Research.


Pengeluaran global jelas firma penyelidikan tersebut, hanya meningkat kira-kira 1% YoY setakat Ogos 2025, dengan Eropah berdepan kekangan kapasiti dan China kekal pada had sebanyak 45 juta tan. 


Perkembangan berkenaan katanya, dilihat menyokong harga semasa, tetapi aluminium premium jenis Main Japanese Port (MJP) merosot 73%, manakala premium US-Midwest pula didapati melonjak 230%.


Harga alumina jatuh separuh kepada AS$334 (RM1,408) satu tan, jauh bawah purata lima tahun, dengan normalisasi rantaian bekalan dan kapasiti baharu dijangka mengekalkan harga di paras rendah.


Sebaliknya kata RHB Research, harga karbon anode pula meningkat 25% YoY akibat gangguan bekalan petroleum kok dari China, selain isu penyusutan dolar AS disebabkan pemotongan kadar faedah AS.


"Kami menjangkakan penyusutan lanjut menjelang suku keempat 2025 dan analisis menunjukkan ringgit kukuh sebanyak 2% boleh menjejaskan keuntungan 5% jika tiada lindung nilai dilakukan," katanya.


Bagaimanapun jelas firma itu, permintaan untuk sektor bahan pembinaan dijangka kekal kukuh hasil projek infrastruktur yang bakal diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025.


RHB Research namun memberi amaran risiko antaranya kenaikan kos input dan kelembapan ekonomi global boleh menjejaskan aktiviti pembinaan serta permintaan terhadap aluminium dan simen. - DagangNews.com