KUALA LUMPUR 6 Ogos — Hasrat Malaysia untuk menjadi kuasa global dalam industri nadir bumi mungkin berdepan dengan pelbagai isu geopolitik, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan tersebut berkata, antara cabaran paling besar yang perlu ditempuhi Malaysia pada ketika ini ialah kebergantungan sektor perlombongan itu dilihat terlalu tinggi kepada negara asing.
Walaupun deposit nadir bumi Malaysia dianggarkan sebanyak 16.1 juta tan dengan potensi bernilai RM747.2 bilion, sumber mineral berkenaan sebahagian besarnya terpaksa diproses di luar negara.
"Ini terutamanya China yang mempunyai teknologi tersendiri namun pergantungan itu pula boleh mencetuskan sekatan perdagangan daripada Amerika Syarikat (AS)," kata PublicInvest dalam notanya.
Situasi itu tambahnya, diburukkan lagi dengan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara tersebut berhubung isu kawalan rantaian bekalan mineral kritikal global dikuasai China.
AS katanya, telah lama menyatakan kebimbangan terhadap dominasi China yang disifatkannya sebagai isu keselamatan negara dan sebagai tindak balas, ia telah mula mengambil banyak langkah agresif.
Alasan AS kata PublicInvest, konon bagi membentuk semula perdagangan global yang adil termasuk pengenaan tarif oleh pentadbiran Presiden Donald Trump untuk memberi perlindungan lebih luas.
"Kami tidak jangka jalan lancar untuk Malaysia kerana cita-cita besar ini memerlukan penggunaan teknologi China, yang boleh mencetuskan risiko geopolitik dan sekatan perdagangan AS," katanya.
Ia memberikan contoh pelbagai eksport Malaysia seperti sarung tangan getah, perabot, dan produk elektrik bernilai rendah dikenakan tarif 19 peratus meningkatkan risiko kekurangan permintaan.
PublicInvest menambah, China meskipun menyumbang 70 peratus keluaran nadir bumi global, ia memproses lebih 90 peratus bekalan dunia, kelebihan strategik dipegangnya sejak dekad 1980-an.
Walaupun potensi nadir bumi di Malaysia antara terbesar di dunia sehingga menarik minta pelabur luar, sumber dalam industri mineral katanya, memberi amaran bahawa keyakinan itu terlalu awal.
"Peluang Malaysia mesti dengan strategi berhati-hati terutama teknologi pemprosesan bukan bergantung kepada China dan membina rantaian bekalan tempatan berdaya tahan," katanya. - DagangNews.com








