KUALA LUMPUR 17 Sept – Walaupun unjuran perniagaan ViTrox Corp Berhad semakin positif hasil permintaan pulih dalam segmen utama, namun potensi kenaikan harga sahamnya adalah terhad.
CGS International (CGSI) berpandangan, keadaan tersebut berikutan lonjakan ketara harga saham sejak awal tahun di samping trend peningkatan daya saing produk kumpulan berkenaan.
Firma berkenaan berkata, ia disebabkan peningkatan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mencecah 10.4% daripada hasil 1HFY25 berbanding purata FY21 hingga FY24 cuma 8.8%.
"Kami mengekalkan saranan ‘kurang’ ke atas saham ViTrox dan mengunjurkan pendapatan 24.1% bagi FY25 hingga FY27, dengan sahamnya tampak terlalu mahal,” kata firma itu dalam notanya.
ViTrox kini diniagakan 52% lebih tinggi daripada rekod purata 10 tahun, menjadikan saham syarikat itu antara yang paling mahal dalam sektor teknologi tersenarai di Bursa Malaysia ketika ini.
Meskipun CGSI menaikkan harga sasaran kepada RM2.93, ia turut menurunkan kadar perolehan kepada 8.75% berbanding 9.7% dan mengekalkan pertumbuhan jangka panjang (LTG) kepada 6.0%.
“Selepas saham ini melonjak 64% daripada paras terendah tahun-ke-tarikh (YTD) pada 9 April lalu, kami melihat ruang untuk naik taraf pendapatan kini terhad,” tambah laporan itu.
CGSI menjangkakan segmen Automated Board Inspection (ABI) akan terus mencatatkan prestasi kukuh, dengan unjuran hasil suku ketiga FY25 (3Q25F) antara RM110 juta hingga RM120 juta.
Katanya, faktor penyokong utama antaranya tunggakan tempahan mencecah RM55 juta, saluran prospek sekitar RM71 juta setakat akhir Julai 2025, dan permintaan tinggi dari pasaran.
"Bagaimanapun, pasaran China kekal sebagai risiko walaupun terdapat pemulihan tempahan, dengan jangka masa penghantaran semakin pendek antara 30 hari hingga 35 hari," kata CGSI.
Sementara rantau Asia Utara pula tambah firma penyelidikan tersebut, dijangka menyumbang 45% kepada hasil ABI dalam tempoh 3Q25, yang menunjukkan kestabilan permintaan serantau.
Segmen Machine Vision System (MVS) dijangka menyumbang antara RM65 juta hingga RM78 juta pada 3Q25, terutama melalui pertumbuhan dalam peralatan digunakan secara meluas industri.
"Antara faktor utama ialah lonjakan tempahan dari Taiwan dan Asia Tenggara, dengan 20% hasil segmen ini bagi YTD FY25 datang dari industri berkaitan kecerdasan buatan (AI)," kata CGSI.
Ia turut dibantu pemulihan permintaan dari China untuk peralatan standard, serta keupayaan ViTrox menyepadu ciri AI dalam produk yang memberi kelebihan berbanding pesaing tempatan.
Bagaimanapun, ia memberi amaran risiko penurunan disebabkan nilai ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat dan lemungkinan tarif baharu ke atas semikonduktor. - DagangNews.com








