KUALA LUMPUR 1 Dis – Walaupun Spritzer Berhad kembali mencatat prestasi suku tahunan yang kukuh, potensi kenaikan harga sahamnya selepas ini dilihat semakin sempit, menurut MBSB Research.
Situasi itu berikutan penilaian yang kini berada hampir tiga kali sisihan piawai di atas purata tiga tahun dan ia mengekalkan saranan 'neutral', meskipun meningkatkan harga sasaran kepada RM2.54.
Firma penyelidikan tersebut berkata, dalam 3QFY25, Spritzer merekodkan pendapatan RM169.9 juta, naik 16.4% tahun ke tahun (YoY) dan keuntungan bersih teras RM25.3 juta, meningkat 20.8% YoY.
"Keadaan ini membawa keuntungan teras 9MFY25 kepada RM69.1 juta (+22.1% YoY), melepasi jangkaan kami sendiri sebanyak 83% daripada anggaran setahun penuh," kata MBSB Research dalam notanya.
Pertumbuhan positif berkenaan jelas firma tersebut didorong oleh permintaan kukuh produk air minuman botol, harga jualan purata (ASP) lebih kukuh serta kos bahan mentah yang terus rendah.
Segmen pembuatan tambahnya, menjadi pemacu utama, dengan hasil meningkat 16.9% YoY, sementara margin keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI) bertambah kepada 14.9%.
Bagaimanapun kata MBSB Research, kadar cukai yang lebih tinggi pada tahun ini, susulan ketiadaan insentif elaun pelaburan semula, sedikit mengehadkan peningkatan margin keseluruhan Spritzer.
"Melihat momentum ini, kami menaikkan unjuran pendapatan FY25, FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 11%, 10% dan 10%, disokong gabungan produk yang lebih menguntungkan syarikat tersebut," jelasnya.
Tambahnya, ia disebabkan peningkatan kecekapan operasi, dan kos bahan mentah yang stabil, tetapi lonjakan harga saham sejak beberapa bulan lalu menjadikan penilaian syarikat kini terlalu regang.
Perkembangan berkenaan jelas MBSB Research, mengehadkan ruang pertumbuhan jangka pendek, namun ia tetap positif terhadap prospek asas Spritzer, disokong oleh faktor permintaan domestik yang stabil.
Pemulihan pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 serta inisiatif peningkatan kapasiti, automasi, perluasan ke pasaran eksport seperti Singapura dan pengukuhan jenama turut memacu hasil.
"Kami mendapati tiada dividen diumumkan bagi tempoh suku tersebut, namun ia selaras dengan amalan syarikat yang lazim mengumumkan pembayaran pada suku keempat," katanya. - DagangNews.com








