Potensi kenaikan saham MISC terhad tanpa lonjakan besar dalam masa terdekat, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Potensi kenaikan saham MISC terhad tanpa lonjakan besar dalam masa terdekat, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Nov - Dua firma penyelidikan tempatan sependapat yang potensi kenaikan harga saham MISC Berhad kini dinilai sebagai terhad, dengan tiada tanda lonjakan besar dalam masa terdekat.


Meskipun asas syarikat kekal kukuh, faktor kelemahan segmen tertentu dan persekitaran pasaran gas asli cecair (LNG) yang lembap turut mempengaruhi pendirian berhati-hati oleh para penganalisis.


MBSB Research menurunkan saranan kepada 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM8.13, dan menegaskan walaupun jangka sederhana kekal positif, tetapi banyak potensi sudah diserap ke dalam harga semasa.


"Keputusan 3QFY25 dan 9MFY25 berada dalam jangkaan dengan untung bersih RM1.75 bilion, naik 4.8% tahun ke tahun (YoY), namun trend prestasi mengikut segmen kekal bercampur," jelasnya dalam nota.


Firma itu merujuk pencapaian rumusan dan aset gas (GAS) MISC terus merosot akibat faktor kurang hari pendapatan, langkah pelupusan kapal yang dianggap berusia lama dan kadar sewaan lebih rendah.


Selain itu jelas MBSB Research, Marine & Heavy Engineering Holdings Berhad (MHE) menjunam ketara kerana projek besar menghampiri penyiapan, dan projek baharu belum mencipta pendapatan ketara.


Bagaimanapun katanya, perniagaan pesisir pantai (OB) mencatat peningkatan kukuh, beralih kepada untung RM198.9 juta, manakala produk dan petroleum (PP) stabil disokong permintaan yang mampan. 


"Kami menyifatkan tekanan jangka pendek untuk GAS dan MHE masih berterusan walaupun pemulihan mungkin bermula 1QFY26, dengan kekuatan PP dan OB terus mengimbang kelemahan sektor lain," katanya.


Justeru dengan kenaikan yang terhad, MBSB Research memilih nada berhati-hati, sementara Maybank Investment Bank pula mengekalkan saranan 'pegang' dan TP diunjur tidak berubah RM8.22 sesaham.




Artikel berkaitan: Untung bersih MISC naik 60% kepada RM541.8 juta pada 3QFY25 disokong pelupusan kapal

 

Di samping itu, firma berkenaan turut mengakui bahawa ruang kenaikan saham tidak luas walaupun MISC kekal sebagai kaunter defensif dengan aliran tunai mantap dan hasil dividen menarik melebihi 4%.


MISC katanya, merekodkan keuntungan bersih seiring 74% daripada unjuran penuh tahun, dan pengumuman dividen interim 8 sen yang diteruskan seperti biasa, menyokong unjuran dividen tahunan 36 sen.


"Kami menjangka pasaran LNG adalah kekal lemah pada 4Q25 akibat faktor lebihan kapal, banyak vessel yang tamat kontrak jangka panjang dan permintaan Asia dinilai sebagai sederhana," jelas Maybank IB.


Pemulihan hanya dijangka pada 2026 selari peningkatan kapasiti eksport global apabila projek baharu siap, manakala pasaran kapal tangki petroleum kekal stabil disokong peningkatan permintaan mapan.


Dengan struktur LNG dan kapal tangki yang defensif, pendapatan MISC dijangka stabil, tetapi firma tersebut juga menegaskan bahawa potensi kenaikan harga saham terhad dalam persekitaran semasa.


Secara keseluruhan, Maybank IB bersetuju yang saham syarikat ini tidak dijangka mencatat lonjakan besar dalam masa terdekat disebabkan prospek bercampur dan ia kekal berhati-hati. - DagangNews.com