KUALA LUMPUR 8 Sept – D&O Green Technologies Berhad mula menunjukkan tanda-tanda awal pemulihan dalam operasi dan permintaan produk kumpulan itu, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Bagaimanapun firma penyelidikan itu berpandangan, potensi kenaikan harga sahamnya adalah terhad berikutan penilaian semasa yang sudah mencerminkan sebahagian besar faktor positif jangka pendek.
Ia menurunkan saranan kepada 'neutral' dengan harga sasaran kekal RM1.27 sesaham, berdasarkan unjuran 26 kali pendapatan sesaham (EPS) FY26 susulan kenaikan harga saham baru-baru ini.
“Walaupun ada pemulihan momentum industri, kami percaya penilaian semasa sudah tinggi, dan faktor positif seperti peningkatan permintaan telah diambil kira pasaran,” kata firma itu dalam notanya.
PublicInvest menambah, pengurusan D&O dalam taklimat baru-baru ini melaporkan bahawa permintaan terhadap produk SmartRGB, SpicePlus 2520 dan SpicePlus 3014 serta lampu Nagajo semakin pulih.
Selain itu, jualan Smart RGB LED dijangka melonjak 70% pada FY26 dengan potensi lebih 10% kepada hasil kumpulan, didorong tempahan kukuh dari pengeluar automotif utama Jerman dan Korea Selatan.
D&O katanya, turut memperoleh kontrak projek untuk bumbung panoramik daripada pengeluar Jerman terkemuka, yang memerlukan 100 unit Smart RGB LED setiap kereta – bersamaan 48 juta unit setahun.
"Dalam usaha menurunkan kos dan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal dari Jerman, D&O kini membangunkan cip litar bersepadu sendiri melalui kerjasama dengan Osram," kata PublicInvest.
Cip itu telah dipatenkan dan dijangka dilancarkan pada suku keempat 2026 dan dijangka membuka laluan kepada pasaran China melalui rekaan fleksibel sesuai pengeluaran wafer di loji tempatan.
Pembangunan cip tersebut juga kata firma tersebut, berperanan sebagai langkah mitigasi terhadap potensi risiko geopolitik atau sekatan perdagangan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara tertentu.
Ia merujuk pelaksanaan tarif AS sebelum ini menjejaskan operasi segmen modul PCBA namun pemulihan dijangka susulan perpindahan beberapa projek ke kilang kedua oleh rakan strategiknya di China.
"Loji ini dijangka menjana keuntungan pada suku keempat FY25, dengan kadar penggunaan mencecah 79%. Empat pengeluar automotif mengesahkan pemindahan pengeluaran ke kilang tersebut," tambahnya.
Sementara itu kata PublicInvest, perbelanjaan modal FY25 dikurangkan kepada RM20 juta sebagai langkah berwaspada, namun mungkin meningkat kepada RM60 juta pada FY26 bagi menyokong kapasiti.
Kilang pertama kumpulan berkenaan kata firma tersebut, masih lagi mempunyai keupayaan tambahan sehingga kapasiti penuh dicapai menjelang 2027 sebelum ditampung pula oleh kilang yang kedua.
Walaupun prospek pertumbuhan D&O semakin menarik melalui pelbagai inisiatif teknikal dan perluasan pelanggan automotif global, potensi kenaikan harga saham adalah terhad buat masa ini.
"Justeru kami mengekalkan saranan 'neutral', dengan harga sasaran RM1.27 sesaham yang masih tidak berubah," tambah firma penyelidikan tersebut. - DagangNews.com








