KUALA LUMPUR 20 April — Pos Malaysia Berhad menyasarkan penghantaran kira-kira 250 tan barangan dan bagasi jemaah haji tahun ini, sekali gus terus memperkukuhkan operasi logistik globalnya.
Melalui perkhidmatan kurier Pos Laju dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH), syarikat itu menyediakan perkhidmatan khas penghantaran barangan untuk jemaah Malaysia di Makkah dan Madinah.
Ketua Pegawai Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman berkata, pelbagai persediaan rapi sudah pun digerakkan bagi memastikan segala operasinya berjalan lancar sepanjang musim haji pada kali ini.
“Matlamat utama kami adalah membantu jemaah negara kita menunaikan ibadah fardu haji dengan lebih tenang tanpa perlu risau mengenai urusan membawa pulang barangan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu tambah beliau, bagi melancarkan urusan berkenaan, kaunter Pos Laju sudah dibuka di beberapa buah hotel penginapan yang terpilih di Makkah dan Madinah bagi kemudahan jemaah Malaysia.
Antaranya termasuk operasi perkhidmatan di Hotel Emmar Elite Madinah yang bermula 18 April 2026 hingga sebelum hari wukuf, serta Hotel Al-Kiswah Makkah dari 23 April 2026 hingga 23 Jun 2026.
Kenyataan tersebut menambah, seramai 25 petugas Pos Malaysia ditempatkan di kedua-dua Tanah Suci berkenaan bagi membantu jemaah negara ini mengurus penghantaran dengan lebih mudah dan teratur.

"Perkhidmatan ini turut menyediakan kotak pembungkusan khas dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar, serta kemudahan penghantaran naskhah al-Quran dengan pengendalian khusus," jelasnya.
Selain itu ujarnya, perlindungan takaful sehingga RM3,000 bagi setiap bungkusan tersebut turut ditawarkan syarikat pos berkenaan bagi barangan bernilai, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Menurut Pos Malaysia lagi, semua barangan akan dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan dalaman yang berpengalaman, dengan tempoh penghantaran dianggarkan antara tujuh hingga 21 hari bekerja.
Kaedah pembayaran pula boleh dilaksanakan secara tunai dalam mata wang riyal Arab Saudi atau melalui pilihan bayar semasa terima (COD) apabila penghantaran selamat tiba di alamat di Malaysia.
"Sebagai penyedia perkhidmatan pos haji sejak 1998, Pos Malaysia menegaskan komitmennya memastikan setiap amanah jemaah dilaksanakan dengan selamat, teratur dan penuh bertanggungjawab," katanya.
Untuk sebarang pertanyaan, jemaah haji boleh menghubungi AskPos menerusi laman web rasmi www.pos.com.my/#askpos atau talian khas di +603 5565 3260 atau e-mel di [email protected].
Jemaah di Tanah Suci juga boleh menghubungi talian Pos Laju di +966 55 328 2076 (Ketua Delegasi), +966 53 004 3624 (Makkah) atau +966 50 781 0275 (Madinah) untuk sebarang pertanyaan. - DagangNews.com








