Pos Malaysia lantik Sid Hart sebagai Ketua Redly Express | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pos Malaysia lantik Sid Hart sebagai Ketua Redly Express

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Feb – Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, Pos Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Sid Hart sebagai Ketua Redly Express yang baharu.

 

Beliau memimpin syarikat perkhidmatan kurier antarabangsa Pos Malaysia itu berkuat kuasa 3 Februari 2025 dan akan melapor terus kepada Ketua Pegawai Transformasi dan Digital Kumpulan, Sumesh Rahavendra,

 

Menurut kenyataan Pos Malaysia, beliau dikenali dengan inisiatif terkemuka yang mampu mempertajamkan lagi fokus komersial, memacu pertumbuhan bahagian pasaran dan meningkatkan kualiti perkhidmatan syarikat.

 

"Dengan kepakarannya yang terbukti dalam penjenamaan semula dan meletakkan kembali organisasi untuk menempuh kejayaan global, Sid sudah pasti akan menjadi aset berharga kepada Pos Malaysia,” kata Sumesh.

 

Malah ujarnya, keupayaan Sid menjalinkan hubungan dengan pemegang berkepentingan secara kukuh, mengoptimumkan operasi dan memupuk budaya penambahbaikan berterusan bakal memberikan hasil positif jangka panjang.

 

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan dirinya, Sid berkata: "Saya sangat teruja untuk menyertai Redly Express pada saat yang genting bagi industri pos memandangkan pasaran sejagat terus berkembang.

 

“Tumpuan kami adalah untuk memacu pertumbuhan pintar, mengukuhkan perkongsian dan menyampaikan nilai sebenar kepada pelanggan. Kami ada peluang luar biasa untuk mengembangkan jangkauan global dan menetapkan piawaian baharu dalam logistik antarabangsa.”

 

Sid merupakan peneraju strategik yang berpengalaman di peringkat antarabangsa dengan kepakaran luas merentasi industri pos, logistik, perhubungan antarabangsa dan kurier dan bungkusan ekspres.

 

Beliau cemerlang dalam memacu pertumbuhan organisasi, memandu cabaran yang kompleks, dan menyampaikan hasil transformatif melalui inovasi strategik dan pelaksanaan yang tegas.

 

Berdasarkan peranan baharunya itu, Sid dijangka memberikan tumpuan untuk menyelia semua perolehan antarabangsa, termasuk Redly Express dan perniagaan pemindahan penghantaran semasa.

 

Sebelum menyertai Pos Malaysia, beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa di Singapore Post, serta pernah memegang beberapa peranan kepimpinan strategik, termasuk Pengarah Urusan Koperasi Pos Asia Pasifik dan Ketua Pegawai Hasil HypaShip. - DagangNews.com