KUALA LUMPUR 10 Nov – Polymer Link Holdings Berhad harus mengurangkan kebergantungan tinggi kepada pelanggan utama tertentu selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 25 November 2025.
Menurut TA Securities, langkah kumpulan tersebut yang merancang mempelbagaikan pasaran serta asas pelanggan akan menjadi kunci utama kepada pertumbuhan secara mampan dalam jangka panjang.
Justeru firma penyelidikan itu menilai saham syarikat berkenaan pada nilai saksama 31 sen sesaham, berdasarkan unjuran FY26, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham.
"Penilaian ini turut mengambil kira aspek prospek pertumbuhan positif, pulangan ekuiti (ROE) lebih tinggi serta kedudukan operasi serantau yang semakin kukuh," kata firma tersebut dalam notanya.
Polymer menerbitkan IPO sebanyak 97.15 juta saham baharu dan penjualan 24.08 juta saham sedia ada, termasuk 28 juta saham untuk orang awam Malaysia dan 64.7 juta saham bagi pelabur yang terpilih.
TA Securities berkata, pengeluar serbuk plastik serantau yang ditubuhkan pada 2011 itu mempunyai kemudahan pembuatannya di Malaysia selain Filipina, India, Australia dan Amerika Syarikat (AS).
Ia meliputi lebih 10 pasaran antarabangsa dengan rekod prestasi kukuh dan pasukan pengurusan yang berpengalaman luas kira-kira 14 tahun serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman.
"Ini membolehkan penghasilan 1,364 formulasi unik tanpa bergantung pihak ketiga; dengan kapasiti pengeluaran fleksibel mampu menyesuaikan produk mengikut kehendak pasaran global," kata firma itu.
Bagaimanapun, TA Securities memberi amaran mengenai kebergantungan besar kepada pelanggan utama seperti Outback Philippines dan OK Play Group yang berisiko menjejaskan kestabilan hasil syarikat.
Ini terutama jika berlaku perubahan permintaan, dengan strategi pengembangan pasaran serantau dan penambahan pelanggan baharu pasca penyenaraian dianggap penting bagi mengurangkan risiko tersebut.
Antara inisiatif Polymer itu katanya, ialah merancang penubuhan sebuah gudang baharu di Brisbane, Australia menjelang 2QFY26 bagi mempercepatkan penghantaran produk kepada pelanggan tempatan.
"Kumpulan ini juga membeli mesin dan peralatan baharu untuk kilang di Malaysia yang meningkatkan tahap pengeluaran dan kecekapan operasi; serta meluaskan pasaran ke Poland," jelas TA Securities.
Langkah berkenaan katanya, dapat memacu pertumbuhan di benua Eropah melalui pelantikan wakil jualan tempatan, selepas kumpulan itu mencatat penyusutan hasil kepada RM132.8 juta pada FY23.
Keuntungan teras juga merosot kepada RM13.9 juta akibat penurunan tempahan pelanggan utama, namun tahun berikutnya, hasil naik kepada RM145.4 juta dipacu permintaan kukuh dari Australia dan Fiji.
TA Securities menjangkakan keuntungan teras meningkat kepada RM14.8 juta, RM16.7 juta dan RM19.0 juta masing-masing bagi FY25 hingga FY27, dengan margin keuntungan Polymer stabil sekitar 9%.
“Kami percaya kumpulan ini berada di landasan kukuh berkembang dengan memanfaatkan keupayaan R&D, peluasan operasi antarabangsa dan permintaan kukuh terhadap produk plastik kejuruteraan," katanya.
Firma itu namun menambah, usaha syarikat berkenaan mengurangkan kebergantungan yang amat tinggi kepada pasaran tertentu akan menjadi penentu utama bagi kestabilan pendapatan jangka panjang.
Selepas penyenaraian, kedudukan kewangan Polymer dijangka bertambah baik dengan pengurangan hutang bersih daripada RM28.1 juta kepada RM9.0 juta, disokong penggunaan hasil IPO. - DagangNews.com








