KUALA LUMPUR 22 Okt – Polymer Link Holdings Berhad menandatangani perjanjian taja jamin dengan Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) sebagai persediaan untuk penyenaraian akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Berdasarkan prospektus syarikat itu, tawaran awam permulaan (IPO) Pasaran ACE Polymer Link terdiri daripada terbitan awam sebanyak 97.15 juta saham baharu, mewakili 17.3% daripada modal saham Kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 560 juta saham.
Selain itu, tawaran untuk jualan sebanyak 24.08 juta saham sedia ada atau 4.3% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan turut dijalankan.
Menurut prospektus syarikat, terbitan awam itu merangkumi 28 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur awam Malaysia dengan separuh diperuntukkan kepada pelabur bukan Bumiputera dan separuh lagi kepada pelabur Bumiputera.
Sebanyak 4.44 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pengurusan kanan dan pekerja melalui Peruntukan Borang Merah Jambu, manakala 64.71 juta saham lagi diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Tawaran untuk jualan pula melibatkan 24.08 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Di bawah perjanjian itu, HLIB akan menaja jamin 32.44 juta saham, termasuk saham untuk pelabur awam Malaysia dan saham bagi Peruntukan Borang Merah Jambu.
Polymer Link, yang ditubuhkan pada 2011 menghasilkan serbuk plastik yang menawarkan pilihan polimer mengikut spesifikasi pelbagai industri, termasuk pasaran antarabangsa seperti Filipina, India, Amerika Syarikat dan Australia.
Naib Pengerusi Eksekutif/Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Koh Song Heng berkata, perjanjian taja jamin itu adalah detik penting dalam perjalanan penyenaraian Kumpulan.
Beliau berkata IPO itu akan membolehkan Kumpulan meningkatkan operasi, mengembangkan kehadiran antarabangsa melalui saluran pengedaran baharu, serta menambah kapasiti serantau termasuk rancangan pengembangan ke Poland dan Australia, selari dengan komitmen Kumpulan.
Polymer Link mendapat kelulusan Bursa Securities untuk penyenaraian di Pasaran ACE pada 25 Julai 2025.
HLIB dilantik sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi IPO, manakala DWA Advisory Sdn. Bhd. bertindak sebagai penasihat kewangan.
Kumpulan ini sebelum ini disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada 27 April 2018 sebelum menyahsenarai secara sukarela pada 9 Disember 2020 bagi menyelaraskan operasi perniagaan. - DagangNews.com








