Polymer Link jual serbuk plastik kompaun secara transaksi berulang di Filipina bernilai RM3.45 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Polymer Link jual serbuk plastik kompaun secara transaksi berulang di Filipina bernilai RM3.45 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 JanPolymer Link Holdings Berhad melaksanakan transaksi pihak berkaitan berulang (RRPT) yang bersifat hasil bernilai RM3.45 juta, melibatkan syarikat berkaitan di Filipina.


Kumpulan itu berkata, urus niaga tersebut dilakukan oleh anak syarikat milik penuhnya, Polymer Link Sdn Bhd dan Polymer Link (Philippines) Inc, dengan Outback Five Star Clark Philippines Inc.


Transaksi berkenaan membabitkan penjualan serbuk plastik kompaun kepada Outback Philippines, yang merupakan sebuah syarikat berkaitan dengan pemegang saham utama Polymer Link Holdings sendiri.


"Ia berdasarkan kepada perjanjian bekalan yang sebenarnya sudah dimeterai pihak berkenaan pada 6 Disember 2017," tambah kumpulan tersebut dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Nilai agregat sebenar transaksi itu bermula dari tarikh penyenaraian di Pasaran ACE pada 25 November 2025 hingga 7 Januari 2026 berjumlah RM3,447,225, yang mewakili nisbah peratusan 4.92%.


Polymer Link Holdings menjelaskan RRPT tersebut adalah perlu bagi operasi harian kumpulan dan dilaksanakan dalam urusan perniagaan biasa, pada terma komersial biasa serta secara bebas.


Jelas kumpulan berkenaan, urus niaga dilaksanakan turut tidak lebih memihak kepada pihak berkaitan berbanding pihak awam, selain dijamin tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham minoriti.


"Dari segi kesan kewangan pula, transaksi yang diuruskan itu sebenarnya langsung tidak menjejaskan modal saham terbitan, serta pegangan pemegang saham utama syarikat," kata Polymer Link Holdings. 


Di samping itu, urus niaga tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan gear kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.


Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko turut berpandangan transaksi tersebut adalah munasabah, adil dan demi kepentingan terbaik syarikat, selain tidak memudaratkan pemegang saham minoriti.


Walaupun RRPT itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham kerana nisbah kurang 5%, mandat pemegang saham berkaitan akan dimohon pada Mesyuarat Agung Tahunan berikutnya. - DagangNews.com