KUALA LUMPUR 9 Mei - Tugas polis pengiring Istana Negara diperkemas apabila menerima jentera baharu iaitu 34 buah motosikal berkuasa tinggi model BWM R1250RT dan BMW R1300GS.
Jentera dua roda tersebut dibekalkan oleh syarikat penyedia kelengkapan keselamatan dan pertahanan tempatan, Ammo Defence Solutions Sdn. Bhd. (AMMO).
Pembelian jentera baharu ini bagi menggantikan motosikal yang digunakan pasukan polis pengiring Istana Negara sebelumnya.
Kesemua motosikal tersebut akan digunakan untuk tugasan mengiring dan kawalan lalu lintas pihak Istana Negara.


Bagaimana pun, nilai motosikal tidak dinyatakan tetapi difahamkan harga jualan tempatan bagi model BWM R1250RT ialah kira-kira RM153,000 sebuah manakala BMW R1300GS berharga RM138,000.
BMW R1250RT merupakan motosikal jenis ‘grand tourer’ yang dipacu enjin boxer bersesaran 1,254cc yang berupaya menjana 136hp dan 143Nm.
Model BMW R1300GS pula merupakan jenis ‘adventure touring’ yang dipacu enjin berseseran 1,300cc dengan 6-Speed gearbox.
Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM dalam kenyataan memaklumkan, perolehan motosikal tersebut dapat membantu kelancaran tugas pasukan pengiring.


Pengarah JSPT, Dato' Sri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua motosikal tersebut akan digunakan untuk tugasan mengiring dan kawalan lalu lintas khususnya bagi kegunaan pihak Istana Negara.
"Motosikal ini dapat membantu kelancaran penugasan pengiring keselamatan Istana Negara," ujar beliau dalam majlis penyerahan kenderaan tersebut di Blok Pentadbiran, Istana Negara.
Turut hadir Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wira Zailani Hashim; Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan Pengerusi Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif AMMO, Roslan Abu Bakar. - DagangNews.com







