KUALA LUMPUR 6 Nov – PMW International Berhad dikenal pasti masih berdepan dengan risiko operasi akibat kebergantungan syarikat cukup tinggi kepada pekerja asing, menurut Public Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut berkata, penyedia rumusan sehenti bagi sektor infrastruktur awam itu, wajar menangani isu berkenaan setelah penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 18 November 2025.
Tambahnya, penubuhan kilang baharu syarikat tersebut di Tanjung Manis, Sarawak yang dijadualkan beroperasi pada 2027, seharusnya memberi peluang kepada ramai bakat tempatan untuk bekerja.
"Kami menilai isu penggunaan sejumlah besar pekerja asing sebagai cabaran agak besar sejak PMW yang beribu pejabat di Lahat, Perak itu ditubuhkan pada 1992," kata PublicInvest dalam notanya hari ini.
Kumpulan itu yang mengendalikan empat fasiliti pembuatan di Ipoh, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah merupakan pengeluar konkrit prategang untuk tiang dan cerucuk dalam pelbagai sektor infrastruktur.
Ini termasuk telekomunikasi, utiliti elektrik dan asas bangunan dengan keupayaan reka bentuk serta pembuatan acuan selain mesin dalaman membolehkan PMW menawarkan produk boleh disesuaikan.
Bagaimanapun, PublicInvest melihat usaha positif syarikat memulakan pengeluaran produk lampu jalan konvensional dan solar sejak Mei 2025, sebagai melengkapkan perniagaan tiang untuk pelanggannya.
"Strategi syarikat ini untuk menambah mesin pemotong laser dan 'shovel loader' diyakini dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran di fasiliti Ipoh menjelang suku keempat tahun ini," katanya.
Di samping itu, PMW berpotensi luas dalam industri tiang dan cerucuk konkrit yang dijangka terus cerah, disokong pembangunan infrastruktur kerajaan, dan pengembangan rangkaian telekomunikasi 5G.
Pelaburan berterusan dalam sektor utiliti menjadikan PublicInvest menilai potensi saham kumpulan ini pada 38 sen sesaham berdasarkan unjuran pertumbuhan pendapatan tiga tahun yang naik 14%.
Perkembangan positif ini jelas firma itu berikutan permintaan berterusan bagi produk konkrit dan syarikat tersebut terus menegaskan kedudukan sebagai penyedia rumusan lengkap tiang dan cerucuk.
PMW namus harus berwaspada risiko kebergantungan pada aktiviti pembinaan, serta perlaksanaan cadangan usaha sama dan fasiliti baharu yang masih menunggu pengesahan. - DagangNews.com








