KUALA LUMPUR 5 Nov - PMW International Berhad dijangka mencatat lonjakan hasil yang ketara apabila loji baharu di Tanjung Manis, Sarawak dijadualkan memulakan operasi pada suku keempat 2027.
Menurut Malacca Securities, fasiliti berkenaan berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat pengilangan produk konkrit tersebut sebanyak lebih 50% yang menyasarkan pasaran Sabah dan Sarawak.
Kumpulan itu jelas firma penyelidikan berkenaan turut menerima manfaat daripada pengukuhan margin hasil selepas melaksanakan pengambilalihan Winabumi Sdn Bhd dan PMW Concrete Industries Sdn Bhd.
"Dua syarikat itu masing-masing beroperasi di Sabah dan Perak, selain kami menjangka ada lonjakan dalam perbelanjaan prasarana elektrik serta rangkaian telekomunikasi 5G negara," katanya.
Malacca Securities dalam notanya itu turut meramalkan pertumbuhan keuntungan teras tahunan sebanyak 23.3% dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan keuntungan bersih lebih RM22 juta.
Justeru, berdasarkan perkembangan semasa itu, firma berkenaan meletakkan penilaian harga wajar sebanyak 57 sen sesaham, yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 67.6% daripada harga semasa.
Ia merujuk pembangunan loji di Tanjung Manis yang menelan peruntukan besar daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) PMW sendiri menjadi komponen penting strategi pertumbuhan lebih bersasar.
"Pada masa sama, kami menilai prospek banyak projek utama utiliti dan telekomunikasi di Sabah dan Sarawak yang mampu menjana pertumbuhan syarikat selepas penyenaraian di Bursa Malaysia," katanya.
PMW dijangka didagangkan di Pasaran ACE pada 18 November 2025 menyasarkan kutipan kasar sebanyak RM60.66 juta melalui terbitan IPO sebanyak 178.41 juta saham baharu pada harga 34 sen sesaham.
KAF Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi tawaran awam tersebut. - DagangNews.com








