KUALA LUMPUR 19 Jun - Pejabat Perdana Menteri (PMO) menolak dakwaan reformasi negara tidak berlaku, menyifatkannya sebagai tidak berasas dan tidak berlandaskan fakta.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, menjelaskan agenda reformasi kerajaan pimpinan Datuk Sri Anwar Ibrahim sedang berjalan dengan konsisten dan berstruktur dan bukan sekadar kenyataan retorik.
"Reformasi bukan retorik. Ia sedang berlangsung sejak awal pentadbiran Perdana Menteri.
"Kerajaan MADANI sentiasa terbuka kepada kritikan membina dan menggunakannya untuk penambahbaikan," katanya dalam satu taklimat khas hari ini.
PMO turut menyorot beberapa pencapaian terkini sebagai bukti jelas kemajuan reformasi, antaranya Malaysia mencatat kemajuan ketara apabila naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2025, berbanding tempat ke-34 pada tahun lalu.
Ia merupakan prestasi terbaik negara sejak tahun 2020.
"Peningkatan ini bukan kebetulan tetapi hasil pendekatan whole-of-government dan whole-of-nation yang dipacu oleh Kerangka Ekonomi MADANI," tambah Tunku Nashrul.
Sebanyak lebih 1,000 inisiatif di bawah Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) telah digerakkan setakat ini, sekali gus mempercepat penyampaian perkhidmatan awam.
PMO turut memaklumkan indeks persepsi birokrasi negara melonjak 22 anak tangga, menunjukkan keyakinan pelabur, dan rakyat terhadap kecekapan pentadbiran.
Bagi suku pertama 2025, Malaysia berjaya merekodkan RM89.8 bilion nilai pelaburan yang diluluskan, peningkatan 3.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pelaburan itu dijangka menjana 1,600 projek baharu dan lebih 33,000 peluang pekerjaan di seluruh negara.
Dalam sektor mikroelektronik dan semikonduktor pula, penyertaan Malaysia dalam SEMICON Southeast Asia 2025 berjaya menjana RM4.6 bilion potensi pelaburan dan RM507 juta potensi eksport.
PMO menegaskan segala pencapaian tersebut mencerminkan keberkesanan Kerangka Ekonomi MADANI, dengan fokus pada menaikkan siling kekuatan ekonomi negara dan merapatkan lantai kesejahteraan rakyat.
"Kejayaan ini bukti kukuh dasar reformasi Kerajaan MADANI bukan sahaja membawa perubahan struktur, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa," ujarnya.- DagangNews.com








