PMB Investment lantik Hang Tuah Amin Tajudin sebagai CEO berkuat kuasa 7 September 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMB Investment lantik Hang Tuah Amin Tajudin sebagai CEO berkuat kuasa 7 September 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 SeptPMB Investment Berhad melantik Hang Tuah Amin Tajudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa pada 7 September 2025.


Kumpulan Pelaburan Mara tersebut berkata, pelantikan beliau dilaksanakan selepas mendapat kelulusan secara rasmi daripada pihak berkuasa kawal selia negara ini.


Hang Tuah sudah dinamakan untuk memegang jawatan tersebut bermula 1 Ogos 2025, sebelum mengambil alih kepimpinan syarikat pengurusan dana berkenaan.


Beliau berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pengurusan aset, perbendaharaan Islam dan konvensional, pasaran pendapatan tetap dan pasaran modal.


Hang Tuah merupakan figura berpengaruh dalam sektor kewangan tempatan dan sebelum menyertai PMB Investment pada 2023, beliau pernah berkhidmat dengan beberapa institusi.


Ini termasuk di Bank Negara Malaysia (BNM), selain anak syarikat Public Bank Berhad iaitu Public Mutual, serta OCBC Al-Amin Bank Berhad dan Cagamas Berhad.


Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perakaunan di Universiti Bristol, Britain itu merupakan penganalisis kewangan bertauliah dan pakar bidang kewangan Islam. 


Sebelum pelantikan ini, Hang Tuah berperanan sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) di PMB Investment, dengan beliau menerajui strategi pelaburan dan pembangunan produk.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Mahdzir Othman berkata, pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan PMB menawarkan rumusan kewangan patuh syariah bertaraf dunia kepada pelabur.


"Kami yakin Hang Tuah akan terus mengemudi hala tuju strategik syarikat sejajar dengan aspirasi kami dalam memperkukuh kedudukan sebagai peneraju pelaburan Islam di rantau ini," katanya.


PMB Investment merupakan antara syarikat pengurusan dana Islam yang semakin mendapat perhatian pelabur, selari dengan pertumbuhan pasaran kewangan Islam di peringkat domestik dan global. - DagangNews.com