PM Anwar dedah sistem digital MAHB digodam, tuntutan AS$10 juta tidak dilayan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar dedah sistem digital MAHB digodam, tuntutan AS$10 juta tidak dilayan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa sistem digital Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) baru-baru ini digodam dengan penjenayah menuntut AS$10 juta (kira-kira RM44.3 juta).
 

Menurut beliau, permintaan tersebut ditolak dan menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan melayan segala tuntutannya.
 

"Semalam kita bicara tentang serangan siber dan godam. Ia agak berat terhadap MAHB dalam satu atau dua hari lalu. Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperoleh dana AS$10 juta atau sebagainya.
 

"Saya dimaklum, Alhamdulillah bulan Ramadan, saya tak tunggu lima saat pun, saya terus jawab no (tidak)," tegasnya.
 

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini hari ini.
 

Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
 

Perdana Menteri bagaimanapun tidak memperincikan mengenai insiden penggodaman terhadap syarikat pengendali lapangan terbang berkenaan namun menegaskan kes itu membuktikan keperluan negara untuk memperuntukkan lebih banyak sumber kepada polis dan Bank Negara Malaysia (BNM).
 

Tegas Anwar, Malaysia tidak mungkin akan selamat jika pimpinan dan sistemnya mengizinkan negara tunduk kepada kehendak penjenayah dan pengkhianat dalam atau luar negara.
 

Beliau berkata, tindakan untuk tidak tunduk kepada tuntutan penggodam itu sudah pasti membawa risiko kepada kerajaan namun ia membuktikan keperluan untuk meningkatkan keupayaan pihak berkuasa termasuk sektor perbankan.
 

“Ada risiko? Ya, dan kita harus hebahkan kepada rakyat (tetapi) ini juga memerlukan kecanggihan kita (seperti) dana tambahan kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia), bank dan semua untuk persiapan,” tegasnya. - DagangNews.com