KUALA LUMPUR 24 Jun — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menyekat akademik para pelajar yang membakar karikatur dirinya pada 22 Jun 2025.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, sebagai bekas aktivis mahasiswa, Perdana Menteri sendiri sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Langkah itu selaras dengan pendekatan MADANI yang mengutamakan nilai ihsan, dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlibat dalam insiden berkenaan tidak disekat perjalanan akademik mereka.
"Perdana Menteri ingin melihat nasib masa depan anak muda tidak harus terkorban dalam arus perbezaan pandangan," kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah hari ini.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian PMO sebagai merujuk peristiwa pembakaran karikatur Anwar ketika demonstrasi 'Gempur Rasuh Sabah 2.0' di Kota Kinabalu anjuran Suara Mahasiswa UMS.
Mengulas lanjut, beliau menambah, insiden itu mengingatkan rakyat betapa besar harapan agar rasuah dapat dibanteras sampai ke akar umbi dan Perdana Menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa.
Anwar juga katanya pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, dan memahami suara pelajar kerana beliau sendiri menjadi saksi kritikan, walau sepedas mana adalah sebahagian penting merai demokrasi.
"Perdana Menteri menitip pesan semangat perubahan bermula dari keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandas fakta dan niat tulus manakala di pihak kerajaan, komitmen reformasi kekal teguh.
"Ia sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata. Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini, serta terus diperhalusi dan dilakukan dengan berstruktur," kata Tunku Nashrul
Tambahnya, demi generasi akan datang, Kerajaan MADANI akan terus menapak di landasan reformasi, memastikan setiap usaha memerangi rasuah diterjemahkan ke arah kesejahteraan buat seluruh rakyat.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPKK) menyifatkan tindakan provokatif kumpulan penuntut tersebut sebagai bertentangan dengan adab dan nilai mahasiswa.
Walaupun ia menghormati prinsip kebebasan bersuara, perbuatan tersebut dianggapnya bersifat berlebihan dan mencemar citra institusi pengajian tinggi sebagai medan ilmu dan intelektualisme
"MPPK mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini. Ia bukan sahaja mencerminkan ketandusan pemikiran rasional, malah berisiko menghakis nilai kesarjanaan dijunjung tinggi warga universiti," katanya.
Bagaimanapun ia menghargai dan memuji tindakan berjiwa besar Perdana Menteri mengarahkan KPT dan UMS agar tidak mengambil tindakan keras sehingga menamatkan pengajian mereka. - DagangNews.com








