KUALA LUMPUR 12 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang (PK3) di Pulau Carey akan digerakkan tanpa lagi sebarang penangguhan.
Beliau menerusi hantaran dalam akaun sosial rasminya hari ini dengan penuh yakin berkata, projek strategik tersebut bakal memperkukuh keupayaan logistik dan daya saing ekonomi negara ini.
Katanya pada mesyuarat khas mengenai pembangunan terminal tersebut yang dipengerusikan beliau sendiri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, projek mega itu sudah sekian lama dirancang.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan dan negeri bersetuju memastikan projek itu diperkasakan, selaras aspirasi meningkatkan kapasiti pelabuhan negara serta membuka peluang ekonomi kepada rakyat.
“Projek ini sudah lama dirancang dan tidak wajar lagi ditangguhkan… Alhamdulillah, kedua-dua kerajaan mencapai kesepakatan untuk menggerakkannya sesegera mungkin,” kata Perdana Menteri.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta beberapa pegawai kanan pusat dan negeri.
Idea pembangunan PK3 mula dicetuskan sejak 2010 sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pelabuhan Klang, namun pelaksanaannya ditangguhkan beberapa kali sebelum ini atas pelbagai faktor tertentu.
Menjelaskan lanjut, Anwar turut mengarahkan semua agensi berkaitan untuk bertindak pantas dan menjadikan PK3 sebagai model baharu pelaksanaan projek negara yang lebih cekap, dan berintegriti.
Beliau menegaskan bahawa aspek sosial dan alam sekitar tidak akan dikompromi, khususnya melibatkan komuniti Orang Asli, penduduk setempat, nelayan serta kelestarian ekosistem Pulau Carey sendiri.
“Pembangunan negara mesti berjalan seiring dengan keadilan sosial dan tanggungjawab terhadap alam… di situlah makna kemajuan yang sebenar dan berkekalan,” ujar beliau menerusi hantaran tersebut
PK3 disifatkan sebagai keperluan jangka panjang memenuhi peningkatan permintaan perdagangan global dan meningkatkan kapasiti pelabuhan negara, serta mengukuhkan Malaysia sebagai hab logistik ASEAN.
Dengan perkembangan terkini itu, projek PK3 dijangka memasuki fasa pelaksanaan lebih jelas, termasuk penyelarasan teknikal, pematuhan alam sekitar dan perancangan model pembangunan. - DagangNews.com








