KUALA LUMPUR 6 Ogos — PLB Engineering Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, PLB Land Sdn Bhd akan menjual lima lot tanah di Pulau Pinang dengan harga pertimbangan tunai RM48 juta.
Kumpulan kejuruteraan tersebut berkata, kesemuanya melibatkan tanah pertanian yang berstatus pegangan bebas dan terletak di Mukim 13, Daerah Seberang Perai Utara kepada Telaga Raya Sdn Bhd.
Lokasi berkenaan kata syarikat itu, berada di Jarak Atas dekat Tasek Gelugor, dengan keseluruhannya berkeluasan 807,157.86 meter persegi manakala pelupusan berdasarkan kesediaan penjual dan pembeli.
"Nilai tanah itu pada 31 Ogos 2024 ialah RM30.37 juta namun penilaian dilaksanakan firma hartanah Henry Butcher pada awal Mei 2025 pula RM60.8 juta," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Tambah PLB Engineering, perjanjian jual dan beli tersebut diadakan pada 2 Mei 2025 manakala usul mengenai pelupusan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasanya pada 21 Ogos 2025.
Ia berkata, cadangan penjualan ini adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mendapatkan dan dan membersihkan nilai bank tanahnya dengan tujuan meningkatkan kedudukan kewangan keseluruhan.
Justeru tambahnya, ia dijangka mencatatkan anggaran keuntungan pro forma sekali sahaja atas langkah pelupusan sebanyak kira-kira RM12.88 juta, sekali gus meningkatkan aset bersih sesaham syarikat.
"Cadangan ini juga akan membolehkan PLB Engineering mengumpul hasil tunai sebanyak RM48 juta yang digunakan terutama pembayaran balik pinjaman bank, pemiutang perdagangan dan modal kerja," katanya.
Usaha itu dijangka mengurangkan tahap penggearan kumpulan, meningkatkan kedudukan kewangan dengan menambah baik nisbah semasa dan mengukuhkan aliran tunai berikutan perbelanjaan faedah rendah.
Katanya, pelupusan itu selaras dengan langkah kumpulan mencari pihak berminat secara aktif membeli tanah serta membuka kunci nilai aset bagi mengurangkan pinjaman dan pembayaran balik pemiutang.
Tiada pengarah, pemegang saham utama, ketua eksekutif syarikat atau individu yang berkaitan dengan mereka ada sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam cadangan pelupusan itu.
"Selepas pertimbangkan semua aspek, Lembaga Pengarah PLB Engineering berpendapat bahawa penjualan itu demi kepentingan terbaik kumpulan dan para pemegang saham," katanya. - DagangNews.com








