IPOH 21 Nov - Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sedang merangka lonjakan baharu sektor pelancongan negeri melalui penambahbaikan produk-produk pelancongan sedia.
Ini termasuk menerusi penstrukturan semula operasi bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing.
Sehingga kini, sebanyak RM5.5 juta telah diperuntukkan untuk mempertingkatkan tarikan utama di Perak.
PKNPk dalam kenyataan berkata, sebanyak 10 projek sedang dipacu bagi melonjak ekosistem pelancongan di negeri ini seiring Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Antara projek yang diketengahkan seperti Houseboat@Temenggor 1, Hotel Casuarina@Pangkor, Balai Gambang Cempaka Sari, Casuarina Hotel @ Meru dan Casuarina Convention Centre serta Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS).
Seterusnya pemulihan Rumah Tradisional Melayu di Meru Raya, Tasik Cermin, Gua Tempurung dan Teluk Batik (Pulau Pangkor)
"Semuanya dirangka bagi memastikan aset milik negeri kembali berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi setempat.
"Houseboat@Temenggor 1 yang terhenti operasinya sejak Julai 2024 berikutan kerosakan teknikal disasar kembali beroperasi sepenuhnya pada Februari 2026," kata kenyataan itu.


Jelas kenyataan tersebut, penjenamaan semula berskala besar sedang dilakukan di Hotel Casuarina@Pangkor kini melalui dengan penutupan sementara hotel.
Ini merangkumi pembinaan Water Villas iaitu konsep penginapan di atas air yang bakal menjadi ikon baharu Pulau Pangkor serta pelengkap kepada pembangunan LuMIC serta pewartaan kawasan Waterbody.
Selain itu, Balai Gambang Cempaka Sari, ikon pelayaran diraja di Sungai Perak kembali beroperasi selepas melalui proses pemulihan.
Ia bukan sahaja menghidupkan semula aset warisan negeri, tetapi turut membuka ruang kepada penyampaian naratif budaya, legenda dan sejarah sungai Perak.


Menerusi Majuperak Holdings Berhad, PKNPk terus memperluas pembangunan ekopelancongan dengan mengurus beberapa aset terpenting negeri, termasuk Tasik Cermin.
"Majuperak akan memulakan pengambilalihan penuh pengurusan Gua Tempurung pada awal 2026 sebagai langkah penting memodenkan aset pelancongan negeri.
"Jumlah pengunjung disasar meningkat daripada 10,000 kepada 25,000 sebulan dalam tempoh tahun pertama.
"Begitu juga pembangunan pusat peranginan moden dengan 29 unit penginapan sedang dirancang di Teluk Batik dijangka bermula pertengahan 2026 bagi memenuhi permintaan tinggi di Manjung," kata kenyataan tersebut.
Fokus PKNPk ini dilihat selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 dan komitmen kerajaan negeri untuk menempatkan Perak sebagai destinasi pelancongan utama. - DagangNews.com







