PKNPk peruntuk hampir RM1 juta pasang lampu solar di lokasi bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PKNPk peruntuk hampir RM1 juta pasang lampu solar di lokasi bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah

Pemasangan lampu solar menambahkan keceriaan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 27 Feb - Bazar Ramadan terpanjang di Perak akan dilimpahi cahaya solar apabila sebanyak 75 unit lampu jenis itu dipasang melibatkan peruntukan sebanyak RM970,000.

 

Terletak di Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS), Meru Raya di sini, bazar Ramadan tersebut dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

 

Menurut Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, pemasangan lampu solar tersebut menambahkan lagi keceriaan di lokasi itu.

 

“Ini bagi membolehkan para pengunjung berbuka puasa bersama keluarga sambil menikmati panorama Banjaran Titiwangsa dan Kledang Saiong.

 

Perak
Bazar Ramadan@BSAS sepanjang 500 meter menempatkan 121 tapak niaga.

 

“Bazar itu bukan sekadar tempat untuk berbelanja tetapi juga mampu menjadi ruang bagi penduduk tempatan berkumpul, berinteraksi dan meraikan bulan Ramadan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Lampu jalan berkuasa solar jenis ‘Smart Solar Streetlight’ telah dipasang secara berperingkat-peringkat sejak Januari lalu.

 

Projek pemasangan lampu solar ini dilaksanakan dengan kerjasama anak syarikat PKNPk iaitu Perak Industrial Resources Sdn. Bhd. (PIRSB). 

 

Lampu solar pintar dari buatan Perancis jenama Sunna Design ini adalah salah satu jenama terkemuka dalam industri pencahayaan tenaga solar. 

 

Perak

 

Perak
Lampu solar yang telah dipasang di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya.

 

Melalui inisiatif ini, ia memberi kelebihan untuk pengguna dan meningkatkan tahap keselamatan kepada pengunjung untuk pencahayaan yang secukupnya di BSAS. 

 

Menjelaskan lebih lanjut tentang bazar Ramadan@BSAS, kata Redza Rafiq, bazar sepanjang 500 meter itu menempatkan 121 tapak niaga akan beroperasi bermula pukul 4 petang hingga 12.30 tengah malam.

 

Ia dijangka menerima pengunjung seramai 120,000 orang berbanding 70,000 pada tahun lalu.

 

Selain itu, katanya, pelbagai penambahbaikan dibuat bagi keselesaan pengunjung termasuk kemudahan parkir lebih banyak dan tempat solat.

 

"Bazar Ramadan@BSAS menawarkan platform penting bagi usahawan kecil dan sederhana (PKS) menjana pendapatan khususnya di bulan Ramadan.

 

"Keputusan untuk meningkatkan bilangan lot di bazar mencerminkan komitmen PKNPk dalam menyokong pertumbuhan PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi tempatan," katanya. - DagangNews.com